Bintulu perlu dibina lebih banyak sekolah – STU

KUCHING: Kesatuan Guru Sarawak (STU) menyeru agar kerajaan melihat kepada keperluan untuk membina lebih banyak sekolah khususnya di Bahagian Bintulu.

Presidennya, Adam Parkash Abdullah berkata, populasi di Bahagian Bintulu berkembang dengan pesat dan ia memerlukan lebih banyak sekolah untuk menampung kepadatan pelajar dalam sebuah bilik darjah.

“Sekiranya keadaan dalam bilik darjah padat, aktiviti pembelajaran dan pengajaran (PdP) tidak dapat dilakukan dengan efektif.

“Malah, PdP bukan sekadar guru mengajar, pelajar mendengar. Tetapi pelbagai aktiviti yang dirancang oleh guru dan ia memerlukan ruang yang lebih luas,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media Persidangan Perwakilan Dwitahunan STU Ke-25 dan Majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) di antara STU dan Universiti Teknologi Swinburne Sarawak di Hotel Penview, semalam.

Menurut Adam, dengan mengambil kira prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) iaitu jarak satu meter, jumlah bilik darjah sememangnya tidak cukup untuk menampung jumlah pelajar.

“Sebenarnya masalah ini dihadapi oleh semua sekolah di seluruh Sarawak. Tetapi kita mulakan dengan Bintulu kerana populasinya yang padat dan berdasarkan kemasukan yang ada di sekolah untuk bahagian tersebut pada masa ini,” ujarnya.

Beliau mendedahkan, terdapat 32 buah institusi pendidikan di Bahagian Bintulu di mana 25 daripadanya adalah sekolah rendah, enam sekolah menengah dan sebuah kolej vokasional dengan jumlah pelajar 31,826 orang di semua institusi berkenaan pada tahun ini.

Suara Sarawak