Bintulu Port Holdings Berhad serah hak milik alat bantuan pelayaran Pelabuhan Bintulu

BINTULU: Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. (SIPSB), anak syarikat Bintulu Port Holdings Berhad dan Lembaga Boya Dan Api Sarawak (LBAS), baru- baru ini telah menandatangani memorandum penyerahan hak milik alat bantuan pelayaran yang telah dipasang di Pelabuhan Samalaju pada 5 September lalu, setelah tempoh tanggungan penyelenggaraan selama enam bulan oleh Samalaju Industrial Port Sdn. Bhd. (SIPSB) tamat pada 30 April lalu.

SIPSB diwakili Ketua Pegawai Operasi, Matshalleh Mohamad Etli manakala LBAS diwakili oleh Pengarah Jabatan Laut Malaysia Wilayah Sarawak, Mohamad Marzuki Brahim dengan disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad, Dato Mohammad Medan Abdullah.

Dalam ucapan ringkasnya, Medan berkata tanpa kerjasama, komitmen dan komunikasi dua hala yang berkesan antara kedua-dua belah pihak, penyerahan bantuan peralatan pelayaran tersebut mungkin sukar untuk dicapai.

Katanya, beliau amat berbesar hati untuk menyaksikan majlis simbolik penyerahan setelah tamatnya enam bulan tempoh tanggungan penyelenggaraan oleh SIPSB.

Pada masa yang sama, beliau berharap Kumpulan Bintulu Port Holdings Berhad amnya, dan SIPSB khususnya, dan Lembaga Boya dan Api Sarawak termasuk Jabatan Laut Wilayah Sarawak akan dapat meneruskan kerjasama yang padu dalam memastikan keselamatan operasi marin Pelabuhan Samalaju berada pada tahap yang tinggi.

Dengan adanya alat bantuan pelayaran yang lengkap dan memenuhi kehendak undang-undang dan speksikasi Jabatan Laut Malaysia, operasi marin Pelabuhan Samalaju yang beroperasi 24 jam tujuh hari seminggu, berada pada tahap keselamatan yang tinggi.

Pelabuhan Samalaju yang pembinaannya bermula pada tahun 2012, memainkan peranan penting dalam memacu ekonomi Sarawak yang mana ianya adalah satu keperluan asas dan pintu utama bagi import cargo mentah dan eksport produk oleh pemain-pemain industri di Taman Perindustrian Samalaju dan kawasan sekitarnya, bagi merealisasikan objektif pembangunan SCORE.

Fasa Interim (2 dermaga) telah mula beroperasi pada April 2014 dan Fasa 1 (tambahan 5 dermaga Handymax dan Handysize) beroperasi sejak Jun 2017, setakat ini telah mengendali 7,391 juta tan kargo dan telah menerima 447 singgahan kapal.

Elemen alat bantuan pelayaran (navigation aids equipment) adalah antara elemen penting bagi operasi sesuatu pelabuhan. Semenjak hasrat untuk membina pelabuhan ini diutarakan , SIPSB dan JLMWS telah sentiasa berhubung bagi memastikan alat bantuan pelayaran ini dapat beroperasi seiring dengan operasi Pelabuhan Samalaju.

Alat Bantuan Pelayaran yang terdiri dari boya-boya, automatic identification system (AIS), leading light towers dan beacon light & structures di Beting Nyalau 1 dan Beting Nyalau 2 terletak di luar pantai Similajau, yang telah berfungsi dengan sempurna ini, menelan kos pemasangan dan pembinaan berjumlah RM12.0 juta.

Suara Sarawak