Bintulu tertinggi catat 123 kes covid-19 dari 351 kes baharu hari ini

KUCHING: Sebanyak 351 kes baharu positif Covid-19 dikesan di Sarawak hari ini menjadikan kes keseluruhan meningkat kepada 20,352 kes.

Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) dalam kenyataan berkata Daerah Bintulu melaporkan kes tertinggi hari ini iaitu 123 kes diikuti Sibu (64), Kuching (30), Kapit (25), Mukah (23), Miri (16), Saratok (10), Sarikei (10), Julau (9), Meradong (8), Selangau (5), Sri Aman (5), Bau (4), Limbang (4), Beluru (3), Kanowit (3), Bukit Mabong (2), Serian (2), Belaga (1), Sebauh (1), Song (1), Subis (1) dan Kabong (1).

JPBN berkata, daripada 351 kes baharu yang dilaporkan, seramai 51 orang telah menunjukkan tanda dan mengalami gejala jangkitan Covid-19 semasa saringan dijalankan.

Manakala jelasnya, sebanyak 257 kes yang dikesan adalah terdiri daripada individu yang telah diberikan arahan perintah kuarantin di pusat kuarantin yang telah disediakan.

“Sebanyak 235 kes merupakan saringan individu yang mempunyai kontak kepada kes positif Covid-19 (6 orang bergejala).

“Sementara 56 kes merupakan saringan-saringan lain di fasiliti kesihatan (8 orang bergejala). 38 kes merupakan saringan individu bergejala di fasiliti kesihatan dan 21 kes merupakan saringan individu dalam kluster aktif sedia ada (tiada yang bergejala),” ujarnya.

Jawatankuasa itu memberitahu, sebanyak 49 kluster di negeri ini masih aktif dengan tujuh kluster melaporkan penambahan kes.

Menurutnya, kluster yang mencatat penambahan kes adalah kluster Jalan Sanyan (1 kes), kluster Bulatan Aman (2 kes), kluster Kampung Binyu (1 kes), kluster Jalan Maju (3 kes), kluster Sungai Kawi (3 kes), kluster Disso (10 kes) dan kluster Jalan Bambangan (1 kes).

Katanya, manakala 42 kluster lagi tidak ada penambahan kes.

Suara Sarawak