Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi terus beramal

KUCHING: Biro Sosial dan Kebajikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Paya Mebi tampil menyumbang sebuah kerusi roda kepada mangsa serangan angin ahmar di Kampung Bukit Panchor, di sini.

Lizana Abdullah, 56, yang kini lumpuh setengah anggota badan iaitu di sebelah kiri badan, hanya terlantar baring di atas katil sejak diserang strok kira-kira dua minggu lepas.

Dia yang baharu balik ke rumah selepas mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak (HUS) pada tiga hari lalu, menerima bantuan kerusi roda itu yang diserahkan oleh Setiausaha PBB Cawangan Batu Kitang Shamsudin Unai, hari ini.

Menurut Shamsudin, pemberian kerusi roda itu merupakan program Bantuan Kasih anjuran Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi.

Beliau menambah bantuan amal itu adalah untuk memupuk sifat toleransi, kasih sayang serta semangat perpaduan dalam masyarakat yang berbilang kaum di Sarawak.

Shamsudin (dua kanan) semasa menyerahkan kerusi roda kepada Lizana di rumahnya, Kampung Bukit Panchor di sini semalam sambil disaksikan yang lain.

“Ini adalah program berterusan Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi dan kami berharap lebih ramai pihak tampil menghulurkan bantuan bagi meringankan beban golongan memerlukan,” katanya ketika ditemu bual.

Hadir sama Ketua Ranting PBB Kampung Bukit Panchor Allemran Jili dan Ketua Pemuda PBB Kampung Bunga Rampai, Zaaba Wahab.

Program Bantuan Kasih Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi bermula sejak tahun 2003 dan pelbagai bantuan telah disampaikan kepada golongan memerlukan seperti kerusi roda, persekolahan, makanan dan banyak lagi.

Baru-baru ini, Shamsudin telah menyerahkan sebuah kerusi roda sumbangan Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi kepada seorang wanita warga emas di Kampung Paya Mebi, yang mengalami kesukaran untuk bergerak disebabkan sudah uzur.