Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi terus beramal

KUCHING: Biro Sosial dan Kebajikan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kampung Paya Mebi menyumbang kerusi roda kepada seorang pesakit strok di Kampung Paya Mebi.

Mohammad Zainon Bungog, 47, kini terlantar dan tidak dapat berjalan akibat lumpuh kaki setelah diserang angin ahmar kira-kira sebulan lalu.

Penyampaian bantuan tersebut disempurnakan oleh Setiausaha PBB Cawangan Batu Kitang merangkap Pengerusi Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi, Shamsudin Unai sempena Sukan Rakyat Saberkas Kampung Paya Mebi, semalam.

Hadir sama Setiausaha Eksekutif Saberkas Sarawak, Izuan Haironi dan Ketua Kampung Paya Mebi Ismail Tangok.

Menurut Shamsudin, penyerahan kerusi roda itu merupakan sebahagian daripada program Bantuan Kasih anjuran Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi bagi meringankan beban golongan memerlukan.

Tambahnya bantuan amal itu juga bagi memupuk nilai kasih sayang dan semangat saling bantu-membantu dalam masyarakat berbilang kaum di negeri ini.

“Ini merupakan bantuan berterusan kami untuk meringankan beban orang yang kurang bernasib baik,” katanya yang ditemu-bual, semalam.

Shamsudin berkata sejak mula dilaksanakan pada tahun 2003, program Bantuan Kasih anjuran Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi telah membantu ramai golongan memerlukan sama ada pesakit kronik, warga emas mahupun pelajar sekolah.

Mohammad Zainon kini dapat bergerak di dalam rumahnya menggunakan kerusi roda sumbangan Biro Sosial dan Kebajikan PBB Kampung Paya Mebi.