Biskut enak kerana gula apong

KUCHING: Minat membuat biskut sejak kecil membantu Azrina Hassan, 23, menjana pendapatan.

Usahawan muda itu berkata, sebaik tamat tingkatan lima, dia terus mengusahakan perniagaan biskut secara kecil-kecilan.

“Saya buat biskut dari rumah dan menjualnya secara dalam talian.

“Sejak itu, saya cuba untuk mempromosikan biskut buatan sendiri kepada orang ramai sehingga mendapat tempahan dari Sri Aman, Betong dan Miri,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Suara Sarawak semasa Program Agro Bazar Online (ABO) yang dianjurkan oleh Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (Fama).

Kata Azrina, Fama banyak membantu perniagaannya dari sudut pemasaran dan pembungkusan.

“Apabila Fama menyarankan saya menyertai ABO, saya belajar tentang cara melakukan perniagaan secara dalam talian dengan lebih berkesan.

“Malah apabila ada ekspo dan karnival, Fama akan membawa kami membuat promosi dan sebagainya,” ujarnya.

Tambahnya, melalui ekspo dan karnival yang disertai, orang luar akan lebih mengenali biskut buatannya yang enak.

“Biskut buatan saya unik kerana saya tidak 100 peratus menggunakan gula pasir, tetapi saya menggunakan gula apong dan gula perang.

“Sebab itu rasa biskut saya ada lain daripada orang lain, kini ada ada 11 jenis biskut buatan sendiri.

“Jika musim perayaan saya berjaya menjual sekitar 500 balang kerana permintaannya akan melambung semasa musim perayaan,” katanya.