ARTIKEL

BIZNETWORK pemangkin ekosistem usahawan Sarawak

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Sarawak mempunyai ramai individu berbakat dan menghasilkan pelbagai produk berkualiti, namun masih memerlukan lebih banyak pendedahan serta platform untuk mengetengahkan hasil mereka.

Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Rubiah Wang berkata, justeru program seperti BIZNETWORK Fiesta Sarawak 2026 memberi peluang kepada usahawan dan penggiat kreatif tempatan untuk memasarkan serta memperkenalkan produk mereka kepada khalayak yang lebih luas.

“Orang Sarawak sebenarnya ramai yang berbakat dan mempunyai banyak produk, tetapi kurang mendapat pendedahan.

“Melalui program seperti ini, kita dapat membuktikan bahawa perkara yang dilakukan di Semenanjung Malaysia juga mampu dilakukan di Sarawak,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program BIZNETWORK Fiesta Sarawak 2026 di Plaza Merdeka.

Dalam pada itu, Rubiah berkata program berkenaan turut mengetengahkan keunikan Borneo dari aspek reka bentuk dan kreativiti, termasuk dalam bidang fesyen.

Menurut beliau, antara perkara yang membanggakan ialah kejayaan bekas peserta program kemahiran MARA yang pernah mewakili Malaysia dalam pertandingan kemahiran dunia sebelum dilantik sebagai tenaga pengajar dan pereka fesyen di Sarawak.

“Dengan pengalaman yang dimiliki, beliau kini membimbing pelajar dan pelatih dalam bidang fesyen serta reka bentuk.

“Ini membuktikan MARA memberi ruang kepada pelatih untuk mengembangkan bakat dan kreativiti mereka,” tambahnya.

Selain itu, beliau berkata kursus berkaitan fabrik dan reka bentuk turut diberi nafas baharu dengan menggabungkan kreativiti sedia ada serta teknologi moden, termasuk kecerdasan buatan (AI).

“Bukan sahaja kreativiti asal dikekalkan, malah teknologi moden seperti AI turut digunakan untuk menghasilkan reka bentuk yang lebih kreatif dan tersendiri.

“Ini antara usaha MARA untuk melahirkan tenaga mahir dalam bidang berkenaan, khususnya di Sarawak,” ujarnya.

Pada masa sama, Rubiah yang juga Ahli Parlimen Kota Samarahan berkata, BIZNETWORK Fiesta Sarawak turut membantu usahawan dalam aspek pemasaran digital dan penggunaan perisian, selain memperkenalkan produk baharu ke pasaran.

Katanya, sebanyak enam produk baharu dilancarkan pada program berkenaan, termasuk produk makanan yang menampilkan perisa, rasa dan pembungkusan baharu.

Dalam perkembangan berkaitan, program BIZNETWORK Fiesta Sarawak 2026 menyasarkan nilai jualan sebanyak RM1 juta sepanjang tiga hari penganjurannya.

Rubiah berkata, jumlah jualan pada hari pertama program berkenaan mencecah RM228,190, selain beberapa produk yang dipamerkan mendapat sambutan menggalakkan.

“Harapan saya, jualan hari ini akan terus meningkat dan kita dapat mencapai sasaran RM1 juta sepanjang tiga hari penganjuran program, ini” katanya.

BERITA LAIN

Pelaburan RM218.5 bilion cipta 99,030 peluang pekerjaan

PUTRAJAYA: Sebanyak 2,746 projek pelaburan yang diluluskan pada separuh pertama 2026 dijangka mewujudkan 99,030 peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia. Ketua Setiausaha Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan

BERITA TERBARU