KUCHING: Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) 9.0 yang akan diumumkan dalam masa terdekat bakal menggembirakan banyak pihak termasuk golongan rentan.
Presiden Persatuan Peniaga dan Penjaja Sarawak Mohd Ariffin Abdullah berkata, seperti BKSS 8.0 yang tamat pada 30 Jun lalu, ia disambut baik oleh semua lapisan masyarakat di Sarawak terutamanya ahli persatuan peniaga dan penjaja.
“Kita difahamkan bahawa Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan BKSS 9.0 dalam masa terdekat dan berita ini sudah tentu menggembirakan banyak pihak termasuk golongan bersasar.
“Justeru, bantuan seperti diskaun bil elektrik, bil air, diskaun sewa skim perumahan, pengecualian bayaran sewa kepada penjaja kecil, diskaun sewa pasar atau gerai dan insentif sekali bayar kepada golongan bersasar perlu diteruskan,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak semalam.
Beliau dalam masa yang sama turut menyeru kerajaan untuk memberi subsidi pembelian racun dan baja untuk pekebun kecil sawit. Katanya, terdapat keluhan daripada pekebun kecil sawit yang menyatakan harga racun dan baja yang tinggi dibandingkan dengan kejatuhan harga sawit yang hampir separuh.
“Justeru saya berasakan terdapat keperluan untuk kerajaan memberi subsidi kepada rakyat untuk pembelian racun dan baja untuk pekebun kecil sawit,” ujarnya.
Terdahulu, Timbalan Premier Sarawak Datuk Seri Dr Sim Kui Hian menyatakan BKSS yang terbaharu akan diumumkan dalam masa terdekat oleh Premier Sarawak bagi mengurangkan beban rakyat menghadapi situasi inflasi. Katanya, BKSS kali ini melibatkan bantuan tanggungan utiliti elektrik dan air.