
SIBU: Kerajaan Sarawak dijangka melanjutkan inisiatif di bawah Bantuan Khas Sarawakku Sayang (BKSS) sehingga akhir tahun ini, terutama yang melibatkan bil utiliti.
Timbalan Premier Dato Sri Dr Sim Kui Hian berkata Premier Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan mengumumkan perkara itu tidak lama lagi.
“Akan ada pengumuman selepas ini mengenai pakej BKSS baharu untuk elektrik dan sebagainya oleh Premier Sarawak tidak lama lagi.
“Seperti yang kita tahu tempoh BKSS sebelum ini telah tamat pada 30 Jun lalu,” katanya kepada pemberita semasa lawatan tapak pembinaan semula Taman Selera Muhibbah hari ini.
Hadir sama Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan II Michael Tiang Ming Tee dan Pengerusi Majlis Perbandaran Sibu (MPS) Kaunselor Clarence Ting Ing Horh.
Di bawah BKSS sebelum ini, diskaun bil elektrik untuk pengguna domestik, komersial dan industri adalah antara lima peratus hingga 25 peratus pada bil elektrik bulanan mereka.
Diskaun ini memberi manfaat kepada 686,847 pengguna di seluruh Sarawak dan kos kumulatif diskaun berjumlah RM83.4 juta ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.
Bagi diskaun bil air, pengguna komersial dan industri menikmati diskaun 10 peratus hingga 25 peratus ke atas bil air bulanan mereka.
Diskaun istimewa sekali sahaja ini memberi manfaat kepada 568,247 pengguna di seluruh negeri.
Kos kumulatif diskaun berjumlah RM12.6 juta dan diskaun istimewa sekali ini juga ditanggung oleh Kerajaan Sarawak.