ARTIKEL

BNM anjur libat urus dengan pihak berkepentingan sempena penerbitan laporan utamanya

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUALA LUMPUR: Bank Negara Malaysia (BNM) menganjurkan beberapa sesi libat urus dengan pelbagai pihak berkepentingan sejak 20 Mac 2024 sempena penerbitan laporan utamanya baru-baru ini.

Menurut BNM, libat urus itu bertujuan untuk membuat perkongsian mengenai penilaiannya berhubung ekonomi dan sektor kewangan Malaysia serta mendapatkan maklum balas daripada pihak berkepentingan BNM.

“Libat urus ini melibatkan kementerian dan agensi kerajaan, kor diplomatik, industri perbankan, insurans dan takaful serta pembayaran, ahli ekonomi, penganalisis perbankan dan pengurus dana, perniagaan termasuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS), dan juga media,” jelas bank pusat dalam kenyataan pada Rabu.

Penerbitan utama BNM itu ialah ‘Laporan Tahunan 2023’, ‘Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2023’ serta ‘Tinjauan Kestabilan Kewangan bagi Separuh Kedua 2023’.

BNM menjelaskan bahawa beberapa isu penting telah dibincangkan, termasuk aspek pertumbuhan dan inflasi, ringgit dan pembaharuan struktur.

Mengenai pertumbuhan dan inflasi, pihak berkepentingan utama telah membincangkan mengenai prospek pertumbuhan dan inflasi Malaysia pada tahun ini serta tindakan yang mungkin diambil oleh Jawatankuasa Dasar Monetari (MPC), menurutnya.

Menurut BNM perbincangan mengenai ringgit pula tertumpu pada penilaiannya terhadap prestasi ringgit, dan alat yang boleh digunakan untuk memberikan sokongan, termasuk sama ada BNM akan membuat pertimbangan untuk menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR).

“Bagi pembaharuan struktur, kebanyakan pihak berkepentingan utama berminat untuk memahami mekanisme, turutan dan pengaturan masa pelaksanaan pembaharuan struktur oleh kerajaan.

“BNM memaklumkan bahawa kerajaan jelas mengenai agenda pembaharuannya, termasuk pembaharuan strategik yang digariskan dalam dokumen dasar utama seperti Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA), Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023, dan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR),” kata bank pusat itu.

Beberapa langkah pembaharuan telah pun atau sedang dilaksanakan, termasuk pelarasan tarif elektrik dan pelupusan had harga tertinggi ke atas barangan seperti ayam.

Lebih daripada itu, BNM menyokong sepenuhnya pembangunan tenaga kerja yang bersedia untuk masa hadapan melalui pembaharuan pasaran pekerja serta pemantapan program pelindungan sosial yang merupakan pembaharuan struktur penting yang diperlukan di Malaysia, menurut bank pusat itu lagi.

“Pelaksanaan pembaharuan ini akan meningkatkan daya saing Malaysia, memastikan pertumbuhan yang lebih mampan serta meningkatkan taraf hidup di negara ini,” tambahnya. 

BNM menekankan bahawa pihak berkepentingan utama juga bersetuju dengan kepentingan pelaksanaan pembaharuan struktur yang berkesan dan kesan seterusnya pada pertumbuhan ekonomi dan ringgit. — BERNAMA

BERITA LAIN

Pengunaan industri eksport catat kenaikan

KUCHING: Industri pembuatan beroperasi dengan kapasiti 80.8 peratus pada suku pertama 2024, berbanding kadar kapasiti 79.8 peratus yang direkodkan pada setahun lepas, kata Jabatan Perangkaan

BMW jual 4,300 kenderaan

SERDANG: BMW Group Malaysia menjual sebanyak 4,300 kenderaan pada suku pertama tahun ini, mewakili peningkatan lapan peratus berbanding tempoh yang sama pada 2023. Pengarah Urusan

MyKiosk mudahkan peniaga

SARATOK: Peniaga kecil tepi jalan di Saratok dan Roban boleh menarik nafas lega apabila permohonan mereka untuk mendapatkan kemudahan berniaga seperti MyKiosk diluluskan oleh kerajaan.

BERITA TERBARU

RM35,000 untuk ganti paip graviti lama

PAKAN: Sejumlah RM35,000 telah diperuntukkan kepada Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Entaih bagi membeli dan menggantikan batang paip graviti lama sekolah tersebut untuk kegunaan seharian mereka.