“Campaklah saya di mana-mana, saya tetap menyanyi dan menghiburkan,” kata penyanyi, Bob Yusof.
Bob sentiasa bersifat merendah diri biarpun memiliki keistimewaan vokal mantap yang melayakkan dirinya berdiri sama tinggi dengan penyanyi terkenal lain.
Dalam pada itu, penyanyi bersuara emas kelahiran Limbang, Sarawak ini mengakui teruja apabila impian sepanjang 19 tahun dalam industri hiburan merakam lagu dalam bahasa Iban akhirnya tercapai.
Bob atau nama sebenarnya Yusrizan Usop berkata, lagu berjudul Rami Time itu juga menjadi penanda aras terbaharu dalam karier nyanyiannya.
“Memang saya teruja dan sangat gembira apabila dapat merakamkan lagu dalam bahasa Iban.
“Saya selalu mengimpikan untuk merakamkan lagu dalam bahasa lain sebagai simbolik profesion penyanyi,” ujar Bob ketika ditemui pemberita pada Majlis pelancaran single lagu Iban pertama di Kafe Parimpan, Metrocity baru-baru ini.
Pada masa yang sama, penyanyi yang popular menerusi lagu Cinta Seorang Teman ini akui bukan sesuatu yang mudah merakam lagu dalam bahasa lban memandangkan ia bukan bahasa pertuturan harian.
Menurut Bob, komposer Hairee Francis juga merupakan penyanyi muda berbakat serta mampu menghasilkan karya yang menarik perhatiannya saat pertama kali mendengarkan lagu tersebut.
“Kerjasama ini berlaku secara tidak sengaja apabila kami bertemu.
Saya meminati karyanya dan ada meminta dia membuatkan sebuah lagu.
“Awalnya dia tidak yakin dengan alasan tidak berani dan sebagainya.
“Tetapi, apabila menerima lagu percubaan, ada sesuatu yang menarik perhatian saya dengan melodinya. Jadi kami tak tunggu lama dan terus memulakan kerjasama,” jelas Bob.
BELAJAR SEBUTAN
Bob turut mendapat tunjuk ajar daripada Hairee agar tidak kelihatan janggal terutama semasa proses rakaman berlangsung.
“Saya perlu pastikan sebutan dan slanga bahasa iban yang dilagukan betul dan tidak kelihatan janggal.
“Mujur mereka banyak membantu dan sedikit sebanyak memudahkan proses rakaman berlangsung.
“Paling penting ialah kefahaman tentang maksud dan sebagainya, setidaknya saya berjaya melakukan dengan baik,” tambahnya lagi.
Sebagai rekod, Rami Time merupakan kerjasama antara Bob Mesra Entertainment, Francis Five Production & Platinum World Network.
Penggambaran muzik video juga dilakukan di Kuching dan masih dalam proses akhir sebelum diterbitkan tidak lama lagi dan sebagai tambahan lagu ini juga boleh didengar menerusi platform digital yang dimaklumkan kemudian melalui media sosial Bob Yusof.
ISTIMEWA GAWAI
Untuk pengetahuan, Rami Time yang merupakan lagu ciptaan sepenuhnya Hairee Francis berkisar tentang pesta dan perayaan seperti sambutan Gawai.
Usaha pelancaran lagu Iban ini muncul pada saat tetap untuk Gawai Dayak pada 1 Jun lalu.
Pelancaran single Rami Time disempurnakan oleh isteri Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan iaitu Datin Amar Dayang Morliah Awang Daud.