BOLA 12 LUBANG

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
Email

DALAM tiga bulan ini, Bumi Kenyalang agak meriah dengan pertandingan sepak takraw.

Hampir setiap daerah di negeri ini menganjurkan pertandingan yang memakan masa dua ataupun tiga hari untuk diselesaikan selepas perlawanan pertama.

Tidak lama. Hanya perlukan masa dua hari untuk sesuatu pertandingan yang disertai 20 hingga 40 regu.

Itu untuk pertandingan dengan format kalah singkir, sebelum ini kalah mati.

Siapa kalah akan tersingkir. Yang menang, akan meneruskan perjuangan pada pusingan seterusnya.

Sementara untuk pertandingan dengan format liga kumpulan – biasanya tiga hingga empat regu dalam satu kumpulan, kadang-kadang memakan masa dua setengah hari ataupun tiga hari.

Biasanya diadakan jika ada cuti umum sama ada pada Jumaat ataupun Isnin.

Malah, ada pertandingan liga kumpulan dapat diselesaikan hanya dalam sehari yang melibatkan 16 regu. Kos pula tidak terlalu tinggi.

Paling utama untuk disediakan adalah hadiah wang tunai, piala serta pingat ataupun diganti dengan hamper.

Selain itu, ada juga pertandingan yang menyediakan beras kepada pemenang.

Hadiah beras kepada juara, naib juara dan pemenang tempat ketiga bersama dibezakan jenis beras dan harga tetapi beratnya sama – sekampit beras 10 kilogram setiap seorang.

Di Kuching pula, sebulan ini juga banyak pertandingan diadakan. Ada yang menawarkan hadiah wang tunai RM300 atau RM800 dan ada yang menyediakan wang tunai RM3,000 untuk juara.

Kebanyakan pertandingan ini dianjurkan oleh kelab-kelab ataupun pertubuhan bukan kerajaan.

Banyak wang tajaan, maka banyak juga hadiah tunai ditawarkan.

Pun demikian, ada yang menganjurkan pertandingan dengan kos yang agak kecil untuk memulakan pertandingan.

Biasanya, wang tajaan difokuskan untuk hadiah wang tunai serta membeli peralatan pertandingan.

Duit yuran regu pula akan digunakan untuk menambah hadiah, bayaran elaun pengadil selain untuk makan, minum dan sebagainya.

Jika jumlah yuran adalah RM50 untuk satu regu, jumlah yuran dikumpul adalah RM1,500 jika disertai 30 regu.

Dan meningkat kepada RM3,000 jika jumlah penyertaan adalah 30 regu jika yuran untuk satu regu adalah RM100.

Semakin mahal bayaran yuran, bermakna semakin tinggi hadiah wang tunai.

Bukan jumlah hadiah yang ingin saya ketengahkan di sini, tetapi kekerapan pertandingan yang dianjurkan, terutama di peringkat akar umbi – paling mudah adalah peringkat kampung.

Fikir-fikirkan! Sedangkan kelab kecil boleh menganjurkan pertandingan, bermakna kelab besar ataupun persatuan sepak takraw pasti lebih daripada mampu menganjurkan sebanyak mungkin pertandingan.

Bekas jurulatih sepak takraw ketika berbual-bual dengan saya ada bercerita,

“Biak kita sik maok banyak pertandingan. Mun banyak sidak ikut pertandingan, sidaknya dapat mengasah kemahiran sepak takraw mereka.”

Jelas seorang lagi, “Jika ada pertandingan, maka akan ada latih tubi sekurang-kurangnya dalam tempoh dua minggu.

Paling kurang seminggu.

Pemain akan menunjukkan komitmen masing-masing sejak dari latihan pertama hingga ke hari pertandingan.”

Katanya memang benar. Saya banyak bertanya kepada rakan-rakan dari kelab lain tentang hal ini, dan mereka sepakat bahawa banyak pertandingan akan memberikan lebih banyak ruang untuk beraksi.

“Apa-apa yang dipelajari semasa latihan akan digunakan sepenuhnya semasa pertandingan,” kata seorang lagi rakan yang berjaya membawa regunya memenangkan banyak kejuaraan.

Pemilihan pemain Dengan adanya banyak pertandingan, akan ada pemain dari pelbagai peringkat usia.

Ada yang sudah veteran, senior dan ada dalam kalangan pelajar sekolah.

Mereka ini – pelajar berani untuk berdepan dengan pemain lawan yang prestasinya sudah jauh ke depan.

Ini peluang untuk menilai pemain yang berbakat untuk dikumpul dan diberikan latihan intensif bagi menghadapi pertandingan yang lebih tinggi, terutama mewakili Sarawak ke peringkat kebangsaan.

Pihak yang diamanahkan mencari pemain muda berbakat harus pergi ke kampung-kampung untuk mencari pemain berbakat.

Boleh sahaja bawa kasut dan main bersama-sama pemain di kampung-kampung pada waktu petang.

Ataupun, sentiasa hadir ke mana-mana pertandingan sama ada dianjurkan secara kecil ataupun besar.

Alasannya, kita perlu tempoh lama untuk menilai kesesuaian pemain untuk direkrut sebagai pemain untuk mewakili bahagian ataupun negeri.

Ramai yang bersetuju ketika diajukan pertanyaan: “Sesuai atau tidak pemilihan pemain dibuat hanya dalam sehari proses pemilihan sesuai?”

Rata-rata mereka menjawab kurang sesuai dan efektif.

Sebagai peminat sukan sepak takraw, saya setuju dengan jawapan ini kerana memilih pemain memerlukan banyak kerja.

Lihat prestasi seseorang pemain dalam banyak pertandingan yang disertai.

Nilai dahulu sebelum rekrut. Ini biasanya dilakukan oleh kelab-kelab sepak takraw.

Pengurus ataupun jurulatih kelab akan melihat dan menilai pemain-pemain regu lain selain pemain kelabnya.

Malah kelab tidak berdaftar juga sedemikian. Jika pemain itu berpotensi dan pada masa yang sama tidak terikat dengan sesebuah kelab, pemain itu akan cuba dilamar.

Biasanya, tindakan ini banyak membawa kejayaan kepada kelab tersebut.

Kadang-kadang bukan hadiah yang dimahukan, tetapi peluang menyertai sebanyak mungkin pertandingan.

Jika dicongak betul-betul, tiada untung menyertai pertandingan sepak takraw. Hadiah yang dimenangi akan dibahagi bahagian sesama pemain.

Pengurus hanya membawa balik piala. Sebab apa tidak untung?

Biasanya kos menyertai pertandingan lebih besar berbanding hadiah yang dimenangi.

Bayar yuran, pengangkutan serta makan dan minum pemain sepanjang pertandingan.

Apa-apa pun, semua ini kerana minat dengan sukan bola 12 lubang.

Jadi, banyak pertandingan untuk memberikan ruang kepada pemain menonjolkan potensi masing-masing. Persatuan sepak takraw di peringkat negeri atau bahagian boleh memainkan peranan ini. Bekerjasamalah dengan kelab-kelab sepak takraw dalam penganjuran pertandingan.

Persatuan menyediakan dana, sementara urusan penganjuran pertandingan diuruskan oleh kelab.

Wujudkan situasi menang-menang.

Kelab dapat menganjurkan pertandingan, manakala persatuan mempunyai wadah untuk melihat dan menilai pemain berpotensi terutama pemain remaja untuk mewakili negeri.

Setelah dikenal pasti, kumpul mereka dalam latihan intensif untuk tempoh lama. Kemudian didedahkan dalam pertandingan anjuran persatuan untuk menilai keberkesanan pemain itu.

Jika tidak berprestasi baik, ketepikan sementara dan serapkan pemain baharu sehingga menemui pemain yang benar-benar serasi dan mampu bersaing dengan tekong kuda, libas gulung serta umpanan jinak pemain tanah Semenanjung.

Ini cuma cadangan.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Impian diraja, rakyat

IMPIAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah

Rahmah jaga perut

SEBELUM Kerajaan Perpaduan memperkenalkan hidangan Menu Rahmah tahun ini, menu

Lain-lain

Venue pemburu menu

BERKONGSI juadah dengan jiran, sepanjang Ramadan menjadi amalan penduduk kampung

Siapa diktator?

BARU-BARU ini bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad mendakwa