Boleh bersidang dengan nasihat PM

KOTA SAMARAHAN: Persidangan Parlimen masih boleh dilaksanakan dengan nasihat Perdana Menteri, seperti yang dititahkan oleh Yang Di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Penolong Naib Cancelor Unimas, Profesor Datuk Mohd Fadzil Abdul Rahman berkata, titah Yang Di-Pertuan Agong seharusnya diterima sebagai isyarat bahawa baginda sebenarnya tiada halangan dan memperkenankan sidang Parlimen untuk diteruskan.

“Dalam tempoh proklamasi darurat yang diumumkan, sebenarnya diumumkan bahawa persidangan Parlimen dan pilihan raya negeri (PRN) dan pilihan raya umum (PRU) tidak dapat dilaksanakan.

“Daripada satu aspek, sememangnya ada kewajaran jika Parlimen bersidang pada waktu ini, memandangkan peranan badan legislatif membahaskan isu-isu dasar tidak dapat berfungsi selama Parlimen tidak dapat bersidang,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak pada Rabu.

Tambah Fadzil, peranan sebagai pihak yang menjadi penimbang tara antara badan eksekutif juga tidak dapat berfungsi sepenuhnya dan ini sudah pasti tidak memberikan peluang untuk satu satu isu dan keputusan dibahaskan dengan secara menyeluruh.

“Seperkara lagi, darurat yang diumumkan ini bukan satu darurat yang terlalu mencemaskan dan ketat seperti darurat sewaktu konfrontasi, mahupun di zaman komunis atau rusuhan kaum yang pernah berlaku.

“Darurat kali ini lebih tertumpu kepada usaha untuk mencegah dan mengawal peningkatan penularan Covid-19,” jelasnya. Beliau menegaskan, istilah darurat terbabit tidak begitu mencemaskan sehingga melibatkan perintah berkurung dan halangan-halangan lain serta sebagainya.

“Tiada halangan bagi aktiviti ekonomi, perniagaan, urus tadbir kerajaan dan sistem pentadbiran negara untuk terus berjalan seperti biasa,” ujarnya. Katanya lagi, perjalanan persidangan Parlimen sebenarnya juga tidak terlalu berisiko untuk diteruskan dan dilaksanakan dalam tempoh darurat ini.

“Sudah pastinya dengan pematuhan SOP yang ketat dan dipantau ia dapat diatasi. “Itu antara sebabn mengapa ada cadangan sebelum ini supaya setidak-tidaknya kawalan dan penetapan bilangan ahli parlimen yang hadir dihadkan bagi membolehkan persidangan diteruskan,” katanya.

Ujarnya lagi, pada dasarnya, memang ada kewajaran untuk persidangan Parlimen diteruskan.

“Bukan hanya badan legislatif dapat meneruskan fungsi, ia juga mencerminkan kestabilan pentadbiran negara dan kesuburan demokrasi terlihat jelas melaluinya. “Pada masa yang sama dapat menepis segala tohmahan dan persepsi buruk terhadap negara dan mempamerkan keterbukaan pemerintahnya,” tambahnya.

Terdahulu, Yang DiPertuan Agong menzahirkan pandangan Parlimen boleh bersidang semasa tempoh darurat berkuat kuasa pada suatu tarikh yang difikirkan sesuai oleh Seri Paduka Baginda atas nasihat Perdana Menteri.

Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Ahmad Fadil Shamsuddin berkata, perkara itu termaktub dalam sub-perenggan 14(1)(b) Ordinan Darurat (Kuasa-kuasa Perlu) 2021 yang menyatakan Parlimen hendaklah dipanggil, diprorog dan dibubarkan pada satu tarikh sebagaimana difikirkan sesuai oleh Seri Paduka atas nasihat Perdana Menteri.

Suara Sarawak