SIBU: Adun Bukit Assek Chieng Jin Ek menjemput Irene Chang, iaitu bekas penyandang kerusi tersebut memantau prestasinya serta berperanan sebagai semak dan imbang untuk lima tahun akan datang.
“Malam tadi (semalam) saya bertemu dengan Irene semasa keluar dari pusat penjumlahan undi di SMK Methodist. “Saya mengalu-alukan beliau untuk memantau dan menjadi semak dan imbang terhadap perkhidmatan saya dan bagaimana untuk menunaikan janji pilihan raya saya,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media di Pasar Sungai Merah bersama-sama Adun Pelawan Michael Tiang untuk mengucapkan terima kasih kepada pengundi atasan sokongan kepada mereka pada PPRN-12, semalam.
Chieng, seorang arkitek pembinaan perkapalan berkata, beliau juga mahu Michael Tiang bersama-sama Adun Dudong Datuk Seri Tiong King Sing dan Adun Nangka Dr Annuar Rapaee turut menyemak prestasinya.

Manifesto pilihan rayanya menekankan enam perkara yang menyentuh pembangunan kemudahan infrastruktur dan kesejahteraan rakyat di Bukit Assek.
Manifesto beliau termasuk merealisasikan rancangan pembangunan semula Bukit Assek, pembinaan poliklinik baharu, pembinaan rumah mampu milik untuk golongan miskin, pembinaan jalan penghubung antara Jalan Wong King Huo dan Jalan Lapangan Terbang Sibu, membina pelan tebatan banjir untuk Kampung Sentosa dan merealisasikan Perjanjian Malaysia 1963 untuk Sarawak menjadi rakan kongsi yang sama dengan Semenanjung.
Mengenai kemenangannya dalam PRN-12, beliau berkata, ia menunjukkan bahawa pengundi telah menghantar mesej yang kuat bahawa mereka mahukan perubahan.
“Kali ini terutama Dun Bukit Assek, kita dapat tahu bahawa terdapat desakan kuat pengundi yang meminta pertukaran (Adun baharu) dan saya perlu melaksanakan dan menyampaikan manifesto saya,” tambahnya.
Chieng berpendapat walaupun mereka berempat (Adun GPS) di sini mempunyai manifesto berbeza, mereka boleh menyampaikan apa-apa yang mereka janjikan kepada pengundi, dengan bekerja sebagai satu pasukan.
“Jadi penting bagi kami dalam pasukan GPS untuk bekerjasama dan memberi khidmat kepada rakyat,” katanya.
Dalam PRN-12, Chieng mengejutkan banyak pihak apabila menewaskan lima calon lain untuk memenangi kerusi Dun Bukit Assek yang merupakan kubu kuat DAP selama dua dekad lalu dengan majoriti 874 undi dalam pertandingan enam penjuru.
Chieng memperoleh 4,684 undi diikuti Chang 3,810 undi, Priscilla Lau (PBK) 2,598 undi, Ting Kee Nguan (PSB) 1,790 undi, Hii Tiong Huat (Bebas) 313 undi dan Jess Lau (Aspirasi) 209 undi.