Bom ditemui di Miri telah dimusnahkan

MIRI: Bom yang ditemui di pantai Tanjung Lobang semalam dimusnahkan, hari ini.
Ketua Polis Daerah Miri Hakemal Hawari berkata, operasi meletupkan bom sepanjang 1.10 meter itu dilakukan sebanyak dua kali iaitu pada jam 10 pagi dan 12 tengah hari.
Beliau turut mengesahkan bom jenis Aeril seberat 113 kilogram dipercayai tinggalan Jepun semasa Perang Dunia Kedua itu dimusnahkan berikutan hasil pemeriksaan awal mendapati ia masih aktif ketika ditemui.
“Tindakan memusnahkan bom tersebut telah dilakukan oleh Unit Pemusnah Bom (UPB) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Miri.
“Bom berkenaan berjaya diletupkan dengan impak yang minimum dan tanpa kecederaan,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Terdahulu, objek terbabit ditemui seorang lelaki ketika mahu membuang air kecil di kawasan semak berhampiran Pantai Tanjung Lobang, tengah hari semalam.
Polis yang tiba di lokasi susulan laporan kejadian semalam terpaksa menangguhkan operasi pada hari ini berikutan kawasan tersebut ditenggelami air pasang.

PECAH…Keadaan bom selepas dimusnahkan

 
JUMPA…Bom yang dijumpai di pantai Tanjung Lobang