KUCHING: Pertubuhan Belia Kebangsaan Bersatu Sarawak (Saberkas) Cawangan Padungan bersama Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Padungan berkongsi nikmat bulan Ramadan menerusi pengagihan 1,000 bekas bubur lambuk kepada orang ramai, di sini, hari ini.
Program berkenaan diadakan di BBP Padungan dan turut diagihkan kepada BBP dan Balai Polis yang terdekat.

Naib Presiden Saberkas Abang Abdul Aziz Abang Draup berkata, program agihan bubur lambu tersebut merupakan program tahunan dianjurkan oleh Saberkas.
Tambahnya, program tersebut merupakan sebahagian daripada kluster Sosial, Rekreasi dan Kebajikan Saberkas.

“Program tersebut turut diadakan di seluruh cawangan Saberkas di seluruh negeri.
“Ketika ini terdapat 78 cawangan, namun kami merancang untuk menambah cawangan pada masa terdekat,” katanya ketika berucap menyempurnakan program tersebut.
Sementara, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak Datuk Khirudin Drahman menzahirkan penghargaan kepada Saberkas kerana memilih jabatan tersebut sebagai rakan strategik.
Katanya, program tersebut merupakan tanda penghargaan kepada anggota bomba dalam menyampaikan perkhidmatan mereka kepada masyarakat.
“Jabatan ini bekerja keras untuk memastikan kami memberikan perkhidmatan terbaik kepada masyarakat.
“Oleh itu, ia adalah satu penghargaan bermakna bagi SABERKAS untuk mengagihkan bubur lambuk kepada kakitangan kami,” katanya.
Turut hadir mantan Pengerusi Saberkas cawangan Padungan Rudi Affendi Khalik, Pengerusi Saberkas cawangan Padungan yang baru dilantik Dr Cheong Yaw Liang serta Naib Pengerusi Saberkas cawang Padungan Datuk Wan Abdillah Edruce Wan Abdul Rahman.