KUCHING: Pasukan Bomba dan Penyelamat (Bomba) komited menggalas tugas seperti yang diamanahkan walaupun berhadapan risiko jangkitan Covid-19.
Pengarah Bomba Sarawak, Khirudin Drahman berkata tanggungjawab tetap dipikul meskipun ramai anggota terdedah ketika bertugas, sehingga ada yang disahkan positif Covid-19 dalam sepanjang tempoh dua minggu ini.
Menurutnya, kes jangkitan Covid-19 melonjak di negeri ini, keperluan daripada pasukan bomba turut mendadak terutama bantuan dari segi pengangkutan membawa pesakit positif.
“Kita bantu Hospital Umum Sarawak, Hospital Miri dan Hospital Bintulu dari segi pengangkutan pesakit,” katanya ketika dihubungi Suara Sarawak hari ini.
Selain itu, beliau berkata pihaknya turut menghulurkan bantuan agihan makanan seperti di lokaliti diiystiharkan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) yang sukar diakses oleh petugas barisan hadapan yang lain.
Khirudin menambah tugas serupa dilaksanakan bagi penghantaran vaksin ke kawasan pedalaman yang memerlukan pengangkutan khas bomba.
“Bantuan pengangkutan bas untuk kes kuarantin dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching juga diperlukan,” katanya.
Pada masa sama, beliau berkata pihaknya turut melaksanakan proses sanitasi di Pusat Pemberian Vaksin (PPV) dan Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 Berisiko Rendah (PKRC).
Justeru, Khirudin menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Sarawak atas keyakinan terhadap khidmat operasi kebombaan melaksanakan Bantuan Kemanusiaan Semasa Bencana (HADR) dalam menghadapi pandemik Covid-19 di negeri ini.
“Saya turut memuji dan menghargai komitmen anggota bomba daripada pelbagai peringkat yang komited melaksanakan tugas yang diamanahkan walaupun berhadapan risiko jangkitan wabak,” katanya.