Bomba peroleh lima jentera CAFS bernilai RM150 juta

KUALA LUMPUR: Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) akan menerima lima jentera Compress Air Foam System (CAFS) yang dianggarkan bernilai RM150 juta secara berperingkat mulai tahun depan.

Ketua Pengarahnya, Datuk Mohammad Hamdan Wahid berkata pembelian semua jentera berkeupayaan tinggi itu merupakan sebahagian daripada peruntukan di bawah Rancangan Malaysia ke-12 (RMK12) bagi memantapkan keupayaan bomba.

Beliau berkata jentera-jentera buatan eropah itu akan ditempatkan di bandar yang berisiko tinggi seperti Kuala Lumpur dan Pulau Pinang.

“Proses pemadaman akan menjadi lebih efisyen, lebih jimat, lebih cepat dengan kekuatan air bertambah baik untuk aktiviti pemadaman, dan jumlah kerugian akibat kebakaran akan dapat dikurangkan,” katanya dalam sidang media di Majlis Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang Tahun 2019 JBPM Kuala Lumpur di Kompleks Kuarters Cheras, Kuala Lumpur, di sini hari ini.

Datuk Mohammad Hamdan Wahid

“Kami berharap jentera seperti ini akan dapat membantu. Ia merupakan jentera buatan Eropah dan sudah diguna pakai oleh pasukan bomba seperti London Fire Brigade dan Los Angeles Fire Department yang mana hasilnya dua kali ganda lebih baik,” tambahnya.

Dalam perkembangan lain, Mohammad Hamdan berkata daripada 1,000 pegawai dan anggota baharu yang akan diambil agensi itu,100 daripadanya akan ditempatkan di Kuala Lumpur manakala selebihnya ditempatkan di balai-balai bomba di seluruh negara.

“Pada ketika ini, kami mempunyai keanggotaan seramai 1,024 di Kuala Lumpur, dan kira-kira 100 pegawai serta anggota baharu akan ditempatkan Kuala Lumpur nanti,” katanya.

Beliau turut menjelaskan pihaknya akan membuat semula kajian Smart Maps bagi mengenal pasti kawasan-kawasan berisiko tinggi dan rendah untuk memudahkan agensi itu merancang penempatan balai dan aset-aset bomba.

“Kali terakhir kami buat kajian adalah pada tahun 2015, maka tahun ini Smart Maps akan dikaji semula untuk kita lihat kawasan-kawasan sesuai bagi penempatan balai dan peralatan bomba,” katanya.

Dalam majlis hari ini, 29 pegawai dan anggota bomba menerima Penganugerahan Pingat Kebesaran Jabatan manakala 74 pegawai dan anggota pula menerima Anugerah Perkhidmatan Cemerlang tahun ini. – Bernama

Suara Sarawak