SARIKEI: Bomba giat melakukan pemantauan ke atas sekurang-kurang tujuh lokasi di daerah ini yang dikenal pasti sebagai kawasan berisiko banjir.
Ketua Balai Bomba Sarikei Mahmudin Narudin berkata, kawasan itu merangkumi sekitar daerah Sarikei dengan fokus utamanya di Kampung Baji, Bayong, Kampung Seberang, Sare, Jalan Repok, Sungai Kesa dan Sungai Mugu Muara Payang.
Katanya, pihaknya sentiasa mendapatkan maklumat dari Jabatan Meteorologi berkaitan perkembangan cuaca dan situasi air sungai.

“Ketika ini, cuaca adalah baik namun kebiasaannya, petang akan berlaku hujan. Kita akan buat pemantauan terlebih dahulu terutama di lokasi ‘hotspot’ ini sebagai langkah berjaga-jaga selain sentiasa mengikuti laporan bencana negeri dari semasa ke semasa.
“Paras air di kebanyakan kawasan tidak berubah dan ada yang menunjukkan trend paras air menurun. Tinjauan dilakukan ketika air pasang. Berdasarkan pemerhatian setakat ini, keadaan masih terkawal,” katanya ketika dihubungi.
Sehubungan itu beliau menasihatkan penduduk di kawasan berisiko untuk membuat persediaan dan mematuhi arahan pasukan keselamatan dari semasa ke semasa.