Bomba sedia buku panduan menyelamat kepada penghantar makanan

KUCHING: Jabatan Bomba dan Penyelamat (Bomba) Sarawak akan menyediakan buku panduan menyelamat kepada penghantar makanan di negeri ini, yang mengajar mereka cara-cara bertindak semasa kecemasan.

Pengarah Bomba Sarawak Khirudin Drahman berkata inisiatif itu dibuat memandangkan golongan penghantar makanan berada di mana-mana pada setiap masa khususnya di jalan raya.

“Melalui pemerhatian saya, mereka (penghantar makanan) dapat bertindak dengan bijak terutama dari segi kawalan di tempat kejadian tetapi tidak pasti sama ada prosedur yang mereka lakukan itu betul atau tidak.

“Kita tidak mahu niat baik mereka mendedahkan diri menjadi mangsa contohnya di selekoh tajam dan gelap, mereka boleh menjadi mangsa,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media sempena Majlis Penyerahan Sijil Hero Bomba kepada orang awam dan penghantar makanan yang membantu menyelamatkan mangsa kemalangan di Jalan Camar, Petra Jaya pada 17 Julai lalu, di Ibu Pejabat Bomba Sarawak di sini hari ini.

Khirudin menambah panduan menyelamat sangat penting kerana ada sesetengah kes memerlukan tindakan polis misalnya seperti mangsa yang tidak sedarkan diri dan mengalih mangsa mungkin menjejaskan siasatan polis.

“Mereka akan meragui sama ada untuk bertindak atau tidak dan isu ini akan menyebabkan kelewatan dalam memberi bantuan sewajarnya kepada mangsa,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata inisiatif sama juga akan dibuat melibatkan pemandu bas, kenderaan awam dan lain-lain yang boleh menyumbang dalam membantu sewaktu kecemasan.

“Ini kerana, mereka berada di jalan raya dan kami (bomba) hanya ada di tempat kejadian selepas menerima laporan.

“Dalam tempoh perjalanan bomba ke tempat kejadian, kalau pihak yang berada di lokasi boleh bertindak dengan bijak, kita boleh mengurangkan impak,” katanya.

Suara Sarawak