KUCHING: Dua individu Orang Kurang Upaya (OKU) terkandas di Gunung Santubong akibat keletihan diselamatkan oleh pasukan bomba.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba Sarawak berkata, kedua-dua mangsa, lelaki dan perempuan berumur 26 dan 25 tahun itu dibawa turun pada jam 7.30 malam tadi.
Menurutnya, kejadian dilaporkan kira-kira jam 5.05 petang oleh Renjer Sarawak Forestry bahawa mangsa terkandas pada aras lapan Gunung Santubong.
“Sejurus menerima laporan, lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Petra Jaya diarahkan ke lokasi kejadian.
“Ketua operasi segera mengarahkan anggota operasi mengerakkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) terus ke lokasi sebenar dua mangsa ini di aras lapan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau berkata, kedua-dua mangsa dibawa turun dan kemudian diserahkan kepada pihak polis.
Katanya, kedua-dua mangsa tidak mengalami sebarang kecederaan.