BETONG: Seekor kucing yang tersepit pada bahagian ‘spring’ sebuah Perodua Kancil yang diparkir di Taman Kenanga Indah petang tadi, berjaya diselamatkan anggota bomba.
Ketua Bomba dan Penyelamat Betong Vincent Baling Yabi mengesahkan, pihaknya menerima panggilan untuk menyelamat si bulus yang tersesat itu kira-kira jam 5.27 petang.
“Selepas dimaklumkan oleh pemilik kucing Stephenie Quin, empat anggota pasukan segera dikerahkan ke lokasi dan operasi membebaskan kucing berkenaan terus dilakukan.

“Bagi menyelamatkan kucing tersebut, anggota kita terpaksa membuka tayar kereta,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Jelasnya, masa yang diperlukan untuk membebaskan haiwan peliharaan itu adalah sekitar dua minit dan operasi tamat pada jam 5.35 petang.