Bomba teruja jadi ‘cikgu’

SARIKEI: Sesekali bergelar ‘cikgu’ menjadi pengalaman menyeronokkan bagi anggota Bomba lebih-lebih lagi apabila berdepan dengan pelbagai kerenah pelajar.

Menurut Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Sarikei, Mahmudin Narudin berkata, biarpun sering mengadakan program seumpama itu di sekolah namun, mereka cukup teruja melihat minat pelajar untuk mendalami ilmu kebombaan.

Dalam program masuk sekolah itu katanya, Bomba mengajar ilmu yang bermanfaat untuk mengurangkan risiko kecederaan, kemusnahan harta benda dan kehilangan nyawa.

Pada masa yang sama, pelajar juga berpeluang merasai sendiri menggunakan peralatan memadam kebakaran di samping menyelamatkan diri dan rakan-rakan yang lain ketika tragedi,” katanya kepada wartawan selepas menghadiri demonstrasi memadam kebakaran di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sungai Paoh.

Antara pelajar yang mengambil bahagian.

Beliau berharap program itu dapat memberi pendedahan yang berguna kepada pelajar dan guru di samping mengenali tugas dan tanggungjawab sebagai ahli bomba.

Malah katanya, peranan bomba bukan sahaja untuk memadam api, tetapi turut terlibat dalam pelbagai aktiviti kemasyarakatan termasuk bergotong royong.

Sehubungan itu beliau juga mengesyorkan pelajar untuk mendaftarkan diri sebagai kadet Bomba sekolah menengah kerana banyak aktiviti dapat dilakukan bersama.

“Kita mempelawa mana- mana sekolah atau agensi yang ingin mengadakan lawatan ke Balai Bomba Sarikei. Kami sentiasa menerima dengan hati dan tangan terbuka.

“Sehubungan itu, saya juga ingin mengucapkan Selamat Hari Bomba Sedunia kepada semua rakan-rakan Bomba, ” katanya.

Pelajar SMK Sungai Paoh mempelajari teknik memadam api dengan betul dalam demonstrasi kebakaran bersama Bomba Sarikei, semalam.

Suara Sarawak