SRI AMAN: Kekurangan sumber air terbuka dan tiupan angin kencang menjadi antara cabaran utama pasukan bomba dalam usaha memadam kebakaran hutan di Jalan Kejatau-Lingga, di sini, yang memasuki hari keenam hari ini.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Bomba berkata, kebakaran membabitkan kawasan seluas kira-kira 80 hektar, dengan 65 hektar daripadanya berjaya dipadamkan, baki 15 hektar masih dalam tindakan pemadaman.


“Operasi hari keenam bermula pada 7.30 pagi dengan kekuatan 18 anggota yang dibahagikan kepada empat kumpulan bagi menjalankan pemadaman di beberapa sektor,” katanya dalam kenyataan.
Tambah PGO, pasukan menggunakan pam GP 10/10 dan pam kebakaran hutan dengan sumber air terbuka, selain membentangkan hos sehingga 500 kaki bagi menyalurkan air ke kawasan yang terjejas.


Katanya, kaedah water flooding dan fire break turut digunakan bagi memadam kebakaran serta menghalang api daripada merebak ke kawasan lain.
“Bagaimanapun, operasi berdepan kekangan berikutan sumber air terbuka, khususnya parit, yang terhad selain tiupan angin kencang menyebabkan api mudah merebak.


“Keadaan jalan yang sempit turut menyukarkan pergerakan jentera dan aset ke kawasan kebakaran,” jelasnya.
PGO berkata, operasi turut mendapat bantuan lima anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), lima anggota Jabatan Pengairan dan Saliran (DID) bersama empat jengkaut, tiga pekerja ladang serta empat anggota Jabatan Alam Sekitar (JAS).


Pada 1.50 petang pula katanya, JAS turut membawa sebuah dron ke lokasi bagi membantu pemantauan kawasan kebakaran.
“Operasi pemadaman ditangguhkan pada 6 petang dan akan disambung semula esok, manakala tiada mangsa dilaporkan dalam kejadian berkenaan,” katanya.

Kebakaran itu dilaporkan pada 10 Ogos lalu dan pasukan bomba masih meneruskan usaha memadam baki kawasan yang terbakar.






