Trending

Bonnie terima RM500,000

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

STATUS orang kelainan upaya (OKU) bukan gambaran kekurangan bagi individu berstatus istimewa ini, walaupun melihat tiada ruang dan peluang untuk berdikari, maju serta menempa nama dalam bidang yang diceburi.

Sebaliknya, selagi seseorang itu mempunyai keazaman tinggi untuk berusaha, apa-apa yang diinginkan akan tercapai melalui komitmen yang turut diiringi semangat juang tinggi.

Kata-kata tersebut menjadi inspirasi jaguh powerlifting Sarawak, Bonnie Bunyau Gustin, 22, iaitu pemenang pingat emas Sukan Paralimpik Tokyo 2020 dalam kategori kegemarannya, 72 kilogram dan ke bawah.

Dia turut mencipta rekod baharu kejohanan (228kg). Atas kemenangan itu, Bonnie menerima wang tunai RM500,000 daripada Kerajaan Sarawak.

Mengambil kira kejayaan demi kejayaan dicipta sepanjang penglibatan dalam sukan berkenaan, pasti masyarakat atau penggiat sukan ingin mengetahui lebih lanjut rahsia di sebalik kejayaan yang telah dikecapi badang kelahiran Kampung Baru Mawang, Serian itu.

Dia berusaha memecah monopoli serta mengalih tumpuan dunia berbekalkan bakat luar biasa serta kebolehan yang dimiliki sepanjang penampilan dalam sesuatu kejohanan.

Bonnie tidak menyangka awal pembabitannya dalam sukan angkat berat pada tahun 2013 menjadi pencetus variasi luar biasa dalam dirinya sehingga kini.

Penampilan secara serius dalam sukan berkenaan pada tahun 2014 ketika berlangsungnya Sukan Para Sukma Perlis membuahkan hasil apabila Bonnie menyumbang pingat. Penampilan pada Sukan Para Sukma Sarawak 2016, anak kepada Gustin Jenang yang juga legenda powerlifting Sarawak turut berjaya menghadiahkan pingat untuk kontinjen Sarawak.

Lebih mengejutkan pada penampilan di Sukan Para Sukma Perak 2018 — Bonnie berjaya meraih pingat emas dalam kategori kegemarannya 65 kilogram dan mencipta rekod baharu dengan angkatan tertinggi 170 kilogram.

Bermula saat itu, Bonnie Bunyau yang dipilih mewakili negara terus menyerlah.

Meraih pingat perak Sukan Para Asia Jakarta 2018, pingat emas Kejohanan Powerlifting Dunia Nur Sultan 2019, pingat emas Kejohanan Dunia Para Powerlifting di Kazakhstan 2021 disusuli kejayaan meraih pingat emas dalam Kejohanan Para Powerlifting Piala Dunia Bangkok 2021.

Di samping meraih pingat emas, Bonnie turut mencipta rekod baharu kejohanan dengan angkatan terbaik 230kg pada Kejohanan Para Powerlifting Piala Dunia Fazza Edisi Ke-11 di Dubai.

Sesungguhnya, kecemerlangan diperagakan oleh Bonnie Bunyau ketika ini sememangnya di luar jangkaan.

Lantas, seluruh rakyat Sarawak amat berharap anak pasangan Gustin Genang dan Evylen Gelagar mampu lebih menyerlah pada masa akan datang.

Malah, berupaya meletakkan namanya sebaris dengan atlet sukan kelahiran Sarawak yang telah berjaya dan mencipta nama di pentas dunia sebelum ini.

 

DAPAT INSENTIF… Bonnie Bunyau Gustin (empat dari kiri) menerima insentif RM500,000 daripada Kerajaan Sarawak yang disampaikan oleh Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berita Berkaitan

E-Paper

26 November 2023

Berita Terbaru