PERCUTIAN yang memberi manfaat kepada kanak-kanak pastinya menjadi pilihan ibu bapa untuk belajar sambil beriadah.
Di Borneo Happy Farm, anda boleh membawa anakanak melihat pelbagai jenis haiwan dan memberi haiwan makan.
Terletak di Jalan Batu Kawa— Bau, Borneo Happy Farm mempunyai tarikan tersendiri.
Antara tarikan tersebut ialah Stesen Arowana, pengunjung dapat melihat sendiri dengan lebih dekat ikan arowana yang bersaiz besar serta boleh memberi ikan tersebut makan.
Di ladang arnab pula, anda boleh menyentuh dan memberi makan arnab dan tikus belanda.
Terdapat beberapa jenis mamalia dan burung seperti kerbau, kuda dan kambing serta beberapa spesies itik.
Pengunjung juga berpeluang menyentuh beberapa jenis reptilia seperti ular dan kura-kura di Longevity Village Station.
Menariknya, kura-kura yang dipamerkan sangat jarang ditemui yang dikenali sebagai kura-kura gunung, malayan box turtle, labi-labi hutan dan banyak lagi.
Premis ini menyediakan kemudahan seperti sistem komentar audio automatik — anda boleh mendengar penerangan tentang sesuatu spesies dengan hanya menekan butang yang disediakan.
Kemudahan yang disediakan di sini cukup lengkap untuk pengunjung dan mesra keluarga termasuk tempat letak kereta yang luas, tandas Orang Kelainan Upaya (OKU) dan bilik salin lampin bayi.
Borneo Happy Farm juga menyediakan pakej rombongan untuk pelajar sekolah yang lengkap dengan pemandu pelancong dan aktiviti menarik.