Bot fiber terbalik berhampiran pelantar Bayan

KUCHING: Sebuah bot fiber dilaporkan terbalik kira-kira 40 batu nautika dari Bintulu dan berhampiran dengan pelantar Bayan.

Menurut jurucakap Maritim Sarawak, satu gerakan mencari dan menyelamat telah diaktifkan pada jam 10.15 pagi tadi.

“‘Fast Crew Boat’ Tegas Maju sedang melakukan pencarian di lokasi penemuan bot namun tidak menemui mangsa terlibat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Katanya komuniti nelayan sekitar Kuala Penipah, Kuala Bedengan dan Muara Mukah juga telah dihubungi untuk mengenal pasti nelayan yang dipercayai terlibat dengan kejadian bot karam berkenaan.

Bagaimanapun, belum dikenalpasti sama ada bot fiber terbabit milik nelayan atau pemancing.