ARTIKEL

Tangkapan bot nelayan tempatan kelas C di kedudukan lebih kurang 2.95 batu nautika dari Tanjung Payung, Bintulu

Bot nelayan kelas C ditahan, tangkap ikan di zon larangan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

BINTULU: Sebuah bot nelayan tempatan kelas C ditahan di kedudukan lebih kurang 2.95 batu nautika Barat Tanjung Payung, di sini, sekitar jam 7.20 pagi,semalam kerana melakukan aktiviti menangkap ikan di kawasan zon larangan.

Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kepten Maritim Mohd Iszuadi Mohamad Hassan berkata, bot terbabit ditahan anggota penguat kuasa ketika sedang leka melakukan aktiviti penangkapan ikan.

Menurutnya, hasil penggeledahan ke atas bot tersebut, terdapat empat kru termasuk tekong warga Indonesia, berumur dalam lingkungan 27 hingga 54 tahun.

“Kesemua kru bersama bot kemudian diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu sebelum diserahkan kepada pegawai penyiasat Maritim Malaysia untuk tindakan lanjut,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tambahnya lagi, kes disiasat di bawah Akta Perikanan 1985 kerana melakukan aktiviti menangkap ikan kurang 15 batu nautika dari pantai serta menggunakan peralatan perikanan yang tidak dibenarkan seperti yang termaktub dalam syarat lesen.

“Manakala kru warga asing yang ditahan akan disiasat di bawah Akta Imigresen 1959/63 ekoran gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah,” ujarnya.

Baca lain  Berehatlah Cliff, anjing pengesan bomba selamat dikebumi

Tambahnya, ia merupakan tangkapan kedua di Sarawak dalam bulan ini melibatkan bot nelayan tempatan yang melanggar syarat lesen, menangkap ikan di luar zon perikanan yang dibenarkan.

“Maritim Malaysia akan terus komited dalam melaksanakan rondaan dan pemantauan dari semasa ke semasa bagi mencegah pelanggaran undang-undang, penyeludupan, pencerabohan dan jenayah maritim yang berlaku diperairan.

“Sebarang aduan serta maklumat berkenaan sebarang salah laku atau kemalangan di laut, orang ramai boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu di talian 086-314 254 atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak 082- 432544 atau MERS 999 yang beroperasi 24 jam,” tambahnya.

Empat kru warga Indonesia yang ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Zon Bintulu pada pagi Khamis

BERITA LAIN

BERITA TERBARU