
PERIKSA…Pasukan operasi Maritim dan PDRM memeriksa bot misteri yang terdampar di pantai Trombol.
KUCHING: Bot penyelamat bernama ‘Bohaimingzhu 2’ yang terdampar di pantai Trombol di sini, dipercayai milik kapal kargo dari negara China (MV Lider Express).
Bot terbabit dilaporkan mengalami masalah teknikal semasa belayar di perairan Natuna, Indonesia sebelum ditemui penduduk terdampar di pantai Trombol pada petang, Rabu lalu (4 Januari).
Pengarah Maritim Sarawak Laksamana Pertama Maritim Zin Azman Md Yunus berkata, pihaknya bagaimanapun masih menunggu pengesahan berkaitan perkara ini daripada pihak terlibat.

Menurutnya, usaha memindahkan bot penyelamat tersebut yang dilakukan semalam terpaksa ditangguh akibat cuaca kurang baik serta lautan bergelora.
“Usaha memindahkan bot oleh pihak Maritim Malaysia dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) petang semalam terpaksa ditangguh, dan akan diteruskan hari ini.
“Bot tersebut akan dipindahkan ke kawasan berdekatan Telaga Air untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, beliau mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti Maritim untuk melaporkan sebarang kecemasan di laut secara terus ke talian MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Sarawak di talian 082-432544.