MIRI: Seorang lelaki dikhuatiri hilang manakala seorang lagi selamat selepas bot fiber dinaiki mereka terbalik pada jarak kira-kira 29.9 batu nautika dari barat daya Muara Sungai Miri, sekitar jam 2.30 petang, hari ini.
Mangsa berusia 37 tahun masih belum ditemui manakala rakannya berjaya menyelamatkan diri dengan berenang ke pantai.
Pengarah Zon Maritim Miri Sarawak Kapten Maritim Md Fauzi Othman berkata, Pusat Sub Penyelamat Maritim (MRSC) Kuching telah mengatur gerak bot kilat 42 ke lokasi kejadian sejurus menerima laporan kejadian.
“Pangkalan Hadapan Carilamat (PHC) ditubuhkan di Pantai Kuala Niah.
“Insiden turut dimaklumkan kepada agensi sahabat serta menyalurkan maklumat kepada persatuan nelayan berhampiran kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Dedahnya, cuaca di lokasi kejadian dalam keadaan berangin dengan kelajuan 20 hingga 30 kilometer sejam serta ombak setinggi 1.0 hingga 1.5 meter.
Beliau dalam pada itu menegaskan agar komuniti maritim membatalkan niat ke laut sekiranya cuaca buruk terutamanya musim Monsun Timur Laut.
Ujarnya, sekiranya menghadapi sebarang kecemasan di laut boleh menghubungi secara terus ke talian 085-418204 (Pusat Operasi Zon Maritim Miri) atau Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak di talian 082-432544 atau MERS 999.