
BINTULU: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Bintulu menahan sebuah bot tunda dan tongkang yang beroperasi menggunakan lesen perkapalan yang telah tamat tempoh di kedudukan 2.5 batu nautika daripada Muara Sungai Kemena, semalam.
Pengarah Zon Maritim Bintulu, Kapten Maritim Mohd Khairol Anuar Saad berkata, bot tunda dan tongkang itu dikesan sedang leka melakukan kerja-kerja memindahkan muatan ke sebuah tongkang lain pada jam 4.35 petang semasa Operasi Permai dijalankan.
“Sejurus menghampiri bot berkenaan, pasukan APMM Bintulu menjalankan pemeriksaan ke atas bot terbabit dan mendapati ia menggunakan lesen perkapalan yang sudah tamat tempoh.
“Enam kru bot tunda termasuk nakhoda, terdiri daripada tiga lelaki tempatan, dua lelaki warga Indonesia dan seorang lelaki warga India, berusia dalam lingkungan 20 hingga 56 tahun ditahan serta mempunyai dokumen pengenalan diri yang sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Turut ditahan dua lelaki warga Indonesia yang bekerja di atas tongkang tersebut disyaki melakukan kesalahan melanggar mana-mana syarat yang dikenakan di dalam pasport, kerana bekerja di tempat yang bukan dibenarkan seperti tertera dalam dokumen pasport.
Tambah Mohd Khairol lagi, pemeriksaan dan geledah ke atas tongkang yang ditahan turut mendapati tongkang tersebut disyaki beroperasi menggunakan “Domestic Shipping Licence” yang juga telah tamat tempoh.
Katanya muatan disyaki batu lebih kurang 1000 tan metrik itu juga didapati telah dipindahkan ke atas tongkang semasa pemeriksaan tersebut.
Kesemua lapan kru beserta bot tunda dan tongkang ditahan dan diiring ke Pusat Tahanan Vesel Zon Maritim Bintulu untuk siasatan lanjut di bawah Akta Kastam 1967, Akta Imigresen 1959/63 dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1952.
Maritim Malaysia sentiasa mengalu-alukan maklumat serta aduan daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang mencurigakan ataupun kemalangan di laut secara terus ke talian
Sebarang aduan salah laku jenayah maritim atau sebarang kecemasan di laut boleh segera menghubungi talian kecemasan MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Zon Maritim Bintulu (086-314 254)/ Pusat Operasi Maritim Negeri Sarawak (082-432544) yang beroperasi 24 jam.