Brazil guna vaksin Covid China

RIO DE JANEIRO: Menteri kesihatan Brazil pada Selasa mengatakan negara itu menambah vaksin CoronaVac buatan China untuk Covid-19 ke dalam program imunisasi nasionalnya, meskipun wujud pertikaian politik dan diplomatik sama ada mahu menggunakannya atau tidak.

Menteri Kesihatan Eduardo Pazuello mengatakan kerajaan persekutuan mencapai kesepakatan dengan Sao Paulo, yang membantu menguji dan menghasilkan vaksin, untuk membeli 46 juta dos yang diberi mulai Januari.

“Vaksin ini menjadi vaksin Brazil,” sebagai tambahan kepada vaksin yang dibangunkan oleh Universiti Oxford dan firma farmasi AstraZeneca, kata Pazuello menerusi perjumpaan video dengan 27 gabenor negara Amerika Selatan.

“Itu merupakan berita besar kami. Ia akhirnya menentukan semula proses” memvaksinasi penduduk Brazil terhadap Covid-19, yang telah meragut lebih banyak nyawa di sini berbanding mana-mana negara kecuali AS.

CoronoVac, dibangunkan oleh firma farmaseutikal China, Sinovac Biotech, yang terjebak dalam pertikaian dengan Brazil.

Presiden Jair Bolsonaro bagaimanapun melabelkan ia sebagai vaksin dari “negara lain”, dan menolak menggunakannya, sebaliknya mendesak vaksin Oxford sebagai gantinya.

Sementara itu, lawan utama Bolsonaro, Gabenor Sao Paulo Joao Doria mengusahakan kesepakatan antara antara Sinovac dengan Institut Butantan Brazil untuk menguji dan menghasilkan vaksin di negaranya.

Doria menganggap vaksin itu selamat dan berkesan, secara peribadi mengadakan sidang media mengumumkan hasil awal dari ujian klinikal.

Beliau dan Bolsonaro juga bercanggah pendapat, sama ada vaksinasi harus diwajibkan seperti dimahukan Doria. Kedua-dua vaksin Sinovac dan Oxford kini menjalani ujian klinikal peringkat akhir di Brazil, tempat ujian teratas bagi calon vaksin kerana kadar jangkitannya yang tinggi.

Kedua-duanya masih memerlukan kelulusan peraturan. Brazil sebelum ini menandatangani kontrak untuk 100 juta dos vaksin Oxford. – AFP

Suara Sarawak