Brendan jaguh gusti lengan

LATIHAN angkat berat menjadi ‘tonik’ Brendan Teng Guan Wei apabila muncul juara gusti lengan bagi kejohanan Pencarian Bakat Baharu Batu Kawa 2021.
Selain itu, Brendan turut memenangi tempat pertama bagi kategori senior lelaki 78 kg tangan kanan.
Ketika ditemui pemberita, pemuda berusia 20 tahun, itu berkata dia tidak menjangka mampu mengalahkan peserta daripada kelas berat yang lain.
Meskipun kejohanan gusti lengan adalah kejohanan yang pertama buat dirinya, namun dia bangga dapat memenangi kejohanan tersebut.
Tambahnya, dia tidak membuat sebarang persediaan untuk sukan tersebut namun dia kerap melakukan latihan angkat berat, ‘squat’, tekan tubi dan ‘deadlift’
“Saya tidak pernah berlatih gusti lengan seumur hidup saya namun saya sering ke gimnasium bersama-sama rakan dan mereka sentiasa memberikan sokongan untuk menjadikan saya lebih kuat.
“Kemenangan saya adalah sesuatu yang tidak dijangka namun saya telah berbuat sehabis baik untuk menang,” ujarnya.
Brendan turut memberitahu, kemenangan tersebut memberi keyakinan kepadanya untuk berlatih lebih keras lagi.
Katanya, dia akan membuat persiapan untuk satu pertandingan gusti lengan yang dijadualkan pada penghujung tahun ini.
Pada kejohanan tersebut, seramai 81 peserta mengambil bahagian dalam lapan kategori dipertandingkan termasuk dua kategori untuk wanita.
Majlis penyampaian hadiah turut dihadiri oleh Setiausaha Politik Ketua Menteri,  Tan Kai, Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Sukan Sarawak, Dr Ong Kong Swee dan Presiden  kelab Premier 101 armwrestling Kuching, Datuk Seri Teng Chi Lik.

Suara Sarawak