Brunei belum buka pintu sempadan

BANDAR SERI BEGAWAN: Negara Brunei masih belum mempunyai perancangan untuk membuka pintu sempadannya kepada negara luar dalam masa terdekat ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Menteri Kewangan dan Ekonomi II Datuk Seri Setia Dr Awang Mohd Amin Liew Abdullah berkata, pada masa ini Kerajaan Brunei masih belum ada rundingan dengan kerajaan negara lain mengenai perkara ini.

Jelasnya, berlaku sedikit salah faham mengenai isu pintu sempadan ini apabila terdapat beberapa artikel menyebut mengenai ada kemungkinan Brunei membuka pintu sempadan dengan negara jiran sehinggakan menimbulkan suasana panik di kalangan masyarakat setempat.

“Masih belum ada perbincangan secara rasmi dengan Kerajaan Malaysia atau Kerajaan Sarawak berhubung perkara ini. Jika kita melihat di surat khabar, itu hanyalah penyataan tidak rasmi,” katanya semasa sidang media di Dewan Al-’Afiah Kementerian Kesihatan kelmarin.

Awang Mohd Amin berkata, walaupun Brunei membuka pintu sempadan itu nanti, perkara ini akan dilaksanakan dengan sangat serius.

“Sebagai contoh di negara Singapura dan China, terdapat garis panduan yang mengharuskan orang yang tiba di kedua-dua negara itu melakukan ujian swab, sebelum menaiki pesawat. Selepas itu, dikuarantin dalam jangka masa yang telah ditetapkan di sebuah hotel setelah mereka mendarat.

“Lagi pula orang luar yang dibenarkan masuk bukanlah atas urusan pelancongan, namun hanya atas urusan tertentu seperti perniagaan atau lawatan rasmi,” ujarnya.

Beliau menjelaskan, sekiranya Brunei membuka pintu sempadan, kerajaan akan memastikan terdapat langkah berjaga-jaga dengan mengambil kira perkembangan wabak di negara jiran terlebih dahulu.

Tambahnya, garis panduan yang akan dilaksanakan kelak bukan hanya akan dikenakan kepada negara Malaysia bahkan juga untuk negara lain.

Suara Sarawak