Bruno Manser mati tanpa kubur

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

SUDAH lebih 23 tahun ghaib, tiada siapa yang tahu di mana aktivis alam sekitar Switzerland, Bruno Manser berada.

Tidak keluarganya, tidak juga para teman dan mereka yang seperjuangan dengannya.

Manser dikatakan ghaib ketika cuba untuk mendaki gunung suci dan mistik bagi masyarakat Penan Sarawak, Batu Lawi.

Hakikatnya, tiada kesan, biarpun ada yang mendakwa beliau jatuh dari batu tajam itu dan mati.

Tiada bukti dan tiada saksi.

Justeru kehilangan beliau menjadi tanda tanya yang besar.

Menurut James Ritchie, wartawan yang paling akrab dan telah menghasilkan biografi tentang Manser, hasrat untuk menawan Batu Lawi telah dilafaz oleh lelaki itu sebelum meninggalkan Kalimantan setelah menjayakan penggambaran dokumentari mengenai dirinya.

Pendakian ke puncak Batu Lawi adalah hasrat terakhirnya sebelum bersara daripada perjuangan bersama Penan, bagi memberi tumpuan kepada keluarganya.

Beliau ketika itu memiliki hubungan dengan seorang wanita yang dikenali sebagai Charlotte.

Kata Ritchie, Batu Lawi dipilih kerana ia merupakan simbol perjuangan masyarakat Penan terhadap gerakan aktiviti pembalakan.

Persoalan besar yang timbul, jika benar beliau mati, apa puncanya?

Kemalangan, jatuh gunung atau dibunuh?

Jika dibunuh, siapa yang membunuhnya?

Atau ia sekadar propaganda pihak tertentu, sebagai membina kemuncak cerita perjuangan Manser.

Setakat ini tiada bukti kepada semua alasan di atas.

Untuk rekod, Manser telah menghuni hutan Sarawak selama lebih 14 tahun sebelum itu, dan amat mengenali selok-belok hutan di kawasan tersebut.

Beliau malah pernah dipatuk ular berbisa dan hampir mati, namun terselamat.

Pada awal perjuangannya, beliau pernah ditangkap pihak polis dan berjaya meloloskan diri, sebelum lesap di dalam hutan.

Baca lain  Tandas kotor, berbau

Menurut Ritchie, sebelum mendaki Batu Lawi, Manser menulis kepada Charlotte, memaklumkan bahawa dia berada dalam keadaan tertekan, keliru dan lemah.

Malah kesakitan patah tulang rusuk kerana kemalangan ketika melakukan penggambaran.

Banyak pihak telah berusaha menyelesaikan misteri kehilangan Manser.

Pada awal Disember 2000, Ken Stier daripada majalah Newsweek mengikuti gerakan mencari dan menyelamat secara besar-besaran oleh pihak berkuasa.

Ini diikuti pencarian pada Ogos pada tahun berikutnya, oleh abang tua Manser, Erich di sekitar Batu Lawi.

Manser dikatakan memasuki Kalimantan Timur pada Februari 2000 untuk terlibat dalam penggambaran dokumentari “Tong Tana -The Lost Paradise” yang diarahkan bersama oleh Björn Cederberg, Erik Pauser dan Jan Röed.

Menurut Ritchie, pada Mac 2000, Manser memaklumkan kepadanya bahawa dia masih bersama-sama kru penggambaran dokumentari tersebut berhampiran Sungai Kayan di Indonesia.

Manser kemudian menyeberang dari Long Layu, Kerayan, Indonesia ke Sarawak pada 21 Mei tahun tersebut, sebelum bermalam di rumah tumpangan Tarawe.

Beliau tiba di negara ini bersama-sama seorang lagi warga Eropah, yang dikenali sebagai Paleu Renzo.

Untuk perlindungan, beliau membawa sepucuk senapang buatan sendiri, yang dikenali sebagai bekakuk.

Menurut maklumat yang diperoleh Ritchie, kedua-dua mereka bermalam di hutan belantara sebelum tiba di Pa Dalih, Tanah Tinggi Kelabit.

Manser dikatakan membawa wang tunai AS$10,000 bersama-samanya.

Mereka kemudian berpisah di pinggir Long Semirang, lokasi terakhir Manser dilaporkan berkhemah sebelum insiden ghaib.

Dalam satu dokumentari bertajuk “Laki Penan” yang diterbitkan pada tahun 2007, bapa angkat kepada Manser, Along Sega jelas bersedih dengan kehilangan anaknya itu.

Baca lain  Rahmat di sebalik Covid-19

Malah beliau menanggapinya sebagai insan istimewa dan dikebumikan dalam majlis khas, biarpun tanpa jasad.

Manser mula tiba di Sarawak pada 1984, apabila menyertai pasukan peneroka gua British Taman Negara Gunung Mulu.

Beliau sebelum itu mendapat maklumat memgenai Penan, ketika bercuti di Terengganu.

Beliau kemudian memasuki hutan di utara Sarawak dan berjaya bertemu dengan keluarga nomad Penan.

Setelah beberapa penolakan, Manser akhirnya diterima sebagai salah seorang daripada keluarga Penan.

Pada tahun-tahun berikutnya, beliau telah merancang gerakan antipembalakan di Baram ketika Sarawak sedang rancak melaksanakan aktiviti perkayuan sebagai sumber ekonominya.

Antara kawasan yang dijadikan sasaran termasuklah Long Pelutan. Tindakan beliau menyebabkan gangguan kepada aktiviti ini, dan menyebabkan kerugian jutaan ringgit.

Kempennya bukan setakat itu, beliau malah menggerakkan aktiviti penentangan di Eropah.

Beliau mengutip sumbangan melalui Bruno Manser Fund dan melancarkan serangan terhadap kepimpinan Kerajaan Negeri, yang ketika itu diketuai Tun Abdul Taib Mahmud. Batu Lawi bukan lokasi asing bagi Manser.

Beliau pernah melakukannya pada 1985.

Ketika menawan puncak berkembar setinggi 6,000 kaki itu, Manser telah berjaya memasuki salah satu lubang gua untuk bermeditasi serta berpuasa tanpa makanan untuk lebih tiga minggu.

Pun begitu, beliau gagal meneruskan puasa tersebut kerana terlalu lemah, hingga terpaksa menyusur untuk turun ke tanah datar. Manser terkenal kerana keberaniannya bersuara di peringkat antarabangsa mengenai Penan.

Malah beliau dikenali kerana sikapnya yang lebih Penan daripada Penan, yang mahu mengekal tradisi Penan dan menentang establishment pembangunan.

Baca lain  Sejarah, mitos dan realiti

Kerana itulah banyak buku ditulis selepas kematiannya, selain buku tulisannya sendiri.

Beliau juga bekerjasama dengan beberapa produksi yang menerbitkan kisah Penan.

Selepas menerbitkan laporan eksklusif pada September 1986, James Ritchie menulis “Bruno Manser: The Inside Story”.

Manakala sebuah filem “Paradise War: The Story of Bruno Manser’ memasuki panggung pada 2019.

Filem arahan Niklaus Hilber ini membariskan anak Penan sebagai pelakon, dan menjalani penggambaran di hutan Indonesia.

Ia bagaimanapun tidak ditayangkan di negara ini.

Realitinya, kisah Manser dalam apa jua versi akan terus diingat sebagai catatan.

Pun begitu, tiada lagi generasi baharu Penan yang tahu akan perjuangannya, kerana masyarakat Penan sendiri sedar, mereka perlu kepada pembangunan.

Pembalakan pada waktu itu adalah sebahagian daripada pembangunan.

Di kampung-kampung yang didakwa digondolkan, telah wujud rangkaian jalan yang dalam sepuluh tahun lagi, sudah pasti mudah dihubungi.

Kalau dahulu terdapat 388 orang komuniti Penan yang hidup nomad dan berpindah randah, jumlahnya jauh menyusut.

Malah mungkin tidak ada.

Semakin ramai yang bergelar usahawan, jutawan dan graduan, selain ada yang berstatus doktor falsafah.

Golongan ini bukan lahir daripada perjuangan Manser.

Sebaliknya daripada usaha gigih kerajaan yang mahu mereka menerima pembangunan dan pendidikan hingga diberi laluan istimewa kepada anak Penan untuk menjadi guru di institut pendidikan guru.

Seperti kata seorang anak Penan yang berjaya, Ezra Uda: “Hanya dengan pendidikan, masyarakat Penan dapat dimajukan, dan mengubah dunia.”

• Rudi Affendi Khalik merupakan penulis, wartawan dan penerbit di syarikat penerbitan tv dan kandungan media di Sarawak.

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Bijak hidu peluang

SABAN tahun ribuan pelajar di seluruh Malaysia mendapat keputusan cemerlang