Buah pinggang: Jumlah pesakit muda meningkat

KUCHING: Penyakit buah pinggang menjejaskan kesihatan pesakit pelbagai peringkat umur termasuk dalam kalangan orang muda.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Buah Pinggang Malaysia Chua Hong Wee berkata, pesakit buah pinggang menghadapi kesukaran ketika menjalani rawatan dialisis.

“Ia satu perkara yang mencabar bagi pesakit buah pinggang kerana mereka harus menjalani rawatan tiga kali dalam seminggu.

“Rawatan pada mesin dialisis mengambil masa empat jam dan ini mengakibatkan ramai berhenti bekerja dan ada yang bekerja dari rumah,” katanya.

Beliau berkata dalam ucapan alu-aluan sempena lawatan Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-kanak Datuk Seri Fatimah Abdullah ke Pusat Dialisis Yayasan Buah Pinggang Kebangsaan Malaysia, Jalan Tun Ahmad Zaidi Adruce, semalam.

Turut hadir sama ialah Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti Datuk Francis Harden Hollis dan Presiden Persatuan Buah Pinggang Sarawak Datuk Seri JC Fong. Hong Wee memberitahu, jumlah orang muda menghidap buah pinggang semakin meningkat setiap tahun, memandangkan terdapat seorang pesakit berusia 16 tahun baru-baru ini.

“Dia cuma 16 tahun. Bolehkah anda bayangkan dia menjalani dialisis pada usia tersebut?” soalnya.

Tambah Hong Wee, punca utama kegagalan buah pinggang ialah penyakit kencing manis yang semakin meningkat setiap tahun.

Katanya, jumlah pesakit di Malaysia hampir 40,000 dan setiap tahun ia meningkat sebanyak 20 peratus iaitu peningkatan 7,000 hingga 8,000 setiap tahun.

Suara Sarawak