Buah pinggang yang mahal

LEBIH sepuluh tahun lalu, saya kehilangan seorang rakan yang tewas setelah bertahun-tahun menderita kegagalan buah pinggang. Kami cukup rapat. Malah beliau yang bekerja sebagai juruhebah radio, sering keluar hujung minggu, dan menyertai program-program belia anjuran saya.

Sepanjang menderita sakit tersebut, beliau terpaksa berpantang air. Beliau berusaha untuk tidak minum lebih daripada 1,000 liter air mineral, malah memilih untuk mengulum ais atau air batu, bagi menghilangkan dahaga.

Dan keadaan lebih parah ketika cuaca panas melanda. Jika terlalu penat dan minum terlebih air, beliau akan berhadapan sesak nafas. Bukan perkara asing untuk beliau pengsan, baik ketika bertugas mahupun ketika berjalan.

Juga tidak kira masa, baik pagi mahupun lewat malam. Beliau selalunya pulih selepas menjalani proses dialisis.

Namun suatu hari, keadaannya semakin teruk dan lemah, hingga mematah seluruh semangat melawannya.

Beliau tewas, dan pemergiannya cukup dirasai. Menurutnya, punca kegagalan buah pinggangnya adalah disebabkan aktiviti merokok dan kekerapan mengambil pil penahan sakit.

Beberapa minggu lalu, saya kehilangan seorang lagi rakan. Kali ini rakan yang bergiat aktif sebagai aktivis belia. Beliau meninggal dunia selepas beberapa bulan berhadapan komplikasi buah pinggang tidak sempat melakukan dialisis.

Beliau berusia 54 tahun dan ketika dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi, toksik telah merebak ke seluruh badannya.

Difahamkan, beliau seharusnya melakukan dialisis lebih awal, namun beliau cuba mengelaknya sehingga keadaan menjadi tidak terkawal.

Ya, kegagalan buah pinggang atau ginjal adalah penyakit yang melanda kebanyakan daripada penduduk di negara ini.

Malah tidak sedikit yang tumbang atau tewas. Ini termasuk penyanyi berperwatakan lucu pada 1990-an, Poe yang menghembuskan nafas yang terakhir beberapa hari lalu. Poe atau nama sebenarnya Mohd Fauzi Ahmad, 64, yang popular dengan lagu Alalala Tok (Jangan Saman) meninggal di Hospital Kuala Lumpur.

Selain buah pinggang, beliau berhadapan komplikasi jantung. Selain dialisis, kaedah terbaik untuk merawat buah pinggang adalah dengan melakukan pemindahan organ, atau menggantikannya dengan buah pinggang yang sihat.

Namun tidak ramai di negara ini yang sedar akan kepentingan melakukan pemindahan organ, termasuk buah pinggang ini.

Akibatnya, lebih 22,000 pesakit di Malaysia menanti dengan sabar untuk menjalani pembedahan pemindahan organ itu.

Bukan mudah untuk mendapatkan buah pinggang yang sihat dan segar, biarpun ramai yang meninggal dunia saban hari.

Puncanya, tidak ramai yang mahu organ mereka didermakan kepada individu lain, selepas mereka menghembuskan nafas terakhir. Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kesedaran Awam Pendermaan Organ Kebangsaan, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, oleh kerana terpaksa bertarung nyawa, ramai yang terdesak hingga bersetuju melakukan pembedahan pemindahan buah pinggang di luar negara secara haram.

“Pemindahan buah pinggang secara haram itu menyalahi undang-undang kerana di pasaran gelap, organ ini selalunya diperoleh daripada mangsa penipuan dan banduan.”

Di pasaran gelap di China, buah pinggang yang sihat boleh mencecah harga setinggi RM62,000 manakala di India RM257,000.

Pernah dikhabarkan buah pinggang individu tertentu dijual pada harga RM830,000. Bagi mereka yang berada, duit pasti tidak menjadi masalah, asalkan umur dapat dipanjangkan sedikit lagi.

Duit boleh dicari, tetapi tidak nyawa. Kerana itu, biar harga di luar tafsir akal, ada yang sanggup membeli buah pinggang ini.

Beberapa tahun yang lalu, ada seorang remaja dari wilayah Hunan, China yang menjual buah pinggangnya pada harga 22,000 yuan atau RM13,273 semata-mata untuk membolehkannya membeli i-pad.

Lam Thye berkata, sejak 2009, kadar pembedahan pemindahan organ di negara ini menunjukkan penurunan setiap tahun dengan, hanya 48 pembedahan direkodkan pada 2016.

Dan harus diingat, tidak semuanya berkaitan dengan buah pinggang, dengan 22,000 masih menanti.

Perunding Nefrologi di Pusat Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Dr Kong Wei Yen menjelaskan, dalam pengurusan penyakit buah pinggang peringkat akhir, pesakit perlu mendapatkan rawatan yang betul iaitu melalui dialisis dan ubat-ubatan. “Apabila doktor memberitahu anda memerlukan dialisis jangka panjang, sebenarnya ia bukan pilihan sebaliknya rawatan ‘wajib’.

“Ini membolehkan anda menjalani kehidupan sihat selepas buah pinggang gagal berfungsi dengan sempurna.

Secara umumnya, buah pinggang berperanan menapis toksik dan mengekalkan bahan-bahan diperlukan di dalam badan.

Bagaimanapun, apabila buah pinggang gagal berfungsi dengan baik, pesakit memerlukan penapis tiruan untuk membersihkan toksin terbabit dalam badan.

Dialisis jelas Wei Yen, biasanya membuatkan pesakit berasa lebih baik selepas beberapa bulan dilakukan.

“Ia meningkatkan kualiti dan memanjangkan umur kebanyakan mereka,” katanya.

Pesakit berhadapan kegagalan buah pinggang peringkat akhir boleh memilih sama ada ingin melakukan hemodialisis atau dialisis peritoneal. Walaupun dialisis jangka panjang dikatakan mampu meningkatkan kualiti hidup untuk kebanyakan pesakit, namun sebenarnya ia bukan jaminan kehidupan mereka akan bertambah baik.

Untuk mengelakkan kegagalan buah pinggang ini, penjagaan rapi perlu dilakukan. Antaranya, mengurangkan pengambilan ubat-ubatan antiradang nonsteroid serta antibiotik.

Atau jika mendesak, dapatkan pandangan pakar perubatan terlebih dahulu. Elakkan suplemen herba yang tidak selamat, jaga pemakanan serta kurangkan pengambilan garam. Selain itu, amalkan aktiviti sihat dengan bersenam, kurangkan merokok dan minum alkohol serta amalkan diet seimbang. Ini akan menjadikan buah pinggang anda kekal sihat.

Suara Sarawak