Buang bayi dalam longkang

KUCHING: Seorang gadis yang mengaku tidak bersalah menyembunyikan kelahiran dan bertindak membuang bayi yang dilahirkan ke dalam longkang atas desakan teman lelakinya dibebaskan dengan jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin tempatan semalam.

Pendaftar Majistret Kanan Aida Montong mengarahkan gadis berusia 21 tahun itu dibebaskan dengan jaminan sementara kes disebut semula pada 19 September depan.

Tertuduh berasal dari Bandar Baru Samariang telah ditangkap polis ketika mendapatkan rawatan di Hospital Umum Sarawak setelah melahirkan bayi berkenaan.

Seorang doktor yang bertugas merawat wanita berkenaan memaklumkan kepada polis bahawa wanita itu cuba menyembunyikan kelahiran bayi sekitar jam 11 pagi walaupun mengalami pendarahan serta tanda-tanda melahirkan anak.

Namun penafiannya terbongkar apabila mayat seorang bayi perempuan ditemui di dalam longkang di Bandar Baru Samariang sekitar jam 7 malam tidak jauh dari tempat tinggal suspek.

Mayat bayi telah dihantar ke HUS untuk tindakan lanjut dan kes disiasat di bawah Seksyen 318 Kanun Keseksaan yang boleh dikenakan hukuman penjara hingga dua tahun serta denda.

Ketika ditanya lebih lanjut kepada tertuduh, dia bertindak demikian setelah diugut teman lelakinya yang bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk membuang bayi itu ataupun dia akan dibunuh lelaki itu.

Suara Sarawak