Buat azam tahun baharu jayakan negara – Dr Mahathir

PUTRAJAYA: Tun Dr Mahathir Mohamed berharap azam tahun baharu yang dibuat bukan sahaja memberi manfaat kepada diri sendiri tetapi juga untuk menjayakan negara ke arah mencapai status negara maju menjelang 2030.

Dalam pertemuan pertama dengan warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) bagi tahun ini, Perdana Menteri berkata jika semua pihak termasuk jentera kerajaan berusaha bersungguh-sungguh, Malaysia akan berjaya mencapai matlamat untuk berdiri sama tinggi dengan negara maju yang lain.

“Saya harap tahun 2020 yang penuh bermakna bagi kita akan menjadi tahun permulaan bagi langkah yang akan membawa kejayaan kepada negara kita, supaya pada tahun 2030 kita akan diiktiraf sebagai negara maju,” katanya.

Bagi mencapai matlamat itu, Dr Mahathir berkata, Malaysia akan menceburi bidang-bidang canggih supaya negara ini akan dilihat sebagai negara maju yang moden dan boleh bersaing dengan negara maju yang lain.

Ketika ini, katanya, bidang teknologi Malaysia sudah mampu mengambil bahagian dan mengeluarkan barangan mereka sendiri.

“Kita hari ini mampu membuat dron umpamanya sesuatu alat yang canggih yang diperlukan untuk pembangunan negara, dan kita akan terus melibatkan diri dalam bidang-bidang canggih yang lain,” katanya.

Suara Sarawak