ARTIKEL

Buat duit dengan KUKU

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Kecanggihan teknologi maklumat kini memberi peluang pekerjaan yang luas kepada orang ramai tidak kira umur sama ada yang masih bersekolah atau yang dewasa.

Internet juga mampu memenuhi hasrat orang ramai untuk memajukan kebolehan mereka dan mengasah bakat serta minat yang dimiliki.

Begitu juga dengan Farrah Deeba Wahieda Hamka, 21 yang meminati bidang kecantikan seperti riasan kuku sejak dia sekolah menengah lagi.

“Saya minat membuat riasan kuku sejak dari sekolah menengah lagi.

Saya juga telah mencuba hampir kesemua salon kuku di Kuching.

“Kemudian, saya ambil keputusan untuk membeli barangan riasan kuku untuk pemula secara dalam talian.

Saya mempelajari cara-cara membuat riasan kuku dari Internet seperti Tik Tok, Facebook dan Youtube,” kata Farrah.

Selain itu, Farrah berlatih membuat riasan kuku pada ahli keluarga dan kawan-kawannya.

Melihat kebolehan yang dimiliki, salah seorang kawannya telah mencadangkan Farrah untuk menjadikan minatnya itu sebagai pekerjaan.

Sejak dari itu iaitu pada bulan Oktober tahun lalu, Farrah mula mencari pelanggan secara dalam talian melalui Facebook dan Tik Tok serta menawarkan perkhidmatan dari rumah ke rumah kepada pelanggan.

Selain itu, pelanggan juga boleh datang ke rumahnya di Kampung Santubong untuk membuat riasan kuku.

Namun begitu, tiada sambutan yang memberangsangkan memandangkan rumahnya jauh dari pusat bandar.

Tiada siapa boleh mematikan hasrat seseorang sekiranya dia sudah bertekad untuk melakukan sesuatu.

Farrah yang juga merupakan pelajar sepenuh masa di sebuah institut pengajian tinggi berani mengambil risiko dengan menyewa sebuah bilik di Taman Lee Ling, Matang dan menjadikannya sebagai studio atau bilik riasan kuku.

“Saya menyewa sebuah bilik di Matang dan menamakan tempat itu sebagai F’Nails Studio.

“Selain dari tempat yang selesa untuk pelanggan, saya turut menyediakan sofa untuk kawan atau ahli keluarga pelanggan menunggu,” tambahnya lagi.

Baru tiga minggu membuka studio tersebut, Farrah mendapati sambutan agak memuaskan kerana jumlah pelanggan meningkat berbanding ketika dia membuat perkhidmatan dari rumah ke rumah.

“Tambahan pula, saya sudah memiliki pelanggan tetap dan tempat yang disewa agak strategik.

Jadi, bilangan pelanggan pun bertambah berbanding tahun lalu.

“Jika dulu, saya hanya memperoleh dua hingga tiga orang pelanggan sahaja dalam seminggu atau sebulan.

Tetapi kini, satu hingga tiga orang pelanggan yang membuat tempahan dalam sehari. Keuntungan yang saya raih pula bergantung kepada jenis riasan yang diingini pelanggan,” jelas Farrah lagi.

Farrah berkata, pendapatan yang dia peroleh boleh mencecah RM60 sehingga ratusan ringgit untuk seorang pelanggan sehari.

“Harga yang saya tetapkan pula tidak semahal di salon kuku kerana saya hendak orang lain juga merasa riasan kuku yang tidak terlalu mahal,” ujarnya.

Disebabkan pernah berada di tempat hanya sebagai pelanggan dahulu, Farrah menetapkan harga yang sangat berpatutan untuk pelanggannya.

Misalnya, sambungan kuku dengan warna biasa berharga RM66 manakala sambungan kuku dengan empat jenis design adalah berharga RM88.

Kemudian, Farrah tetapkan harga riasan kuku gel dengan warna biasa serendah RM22 sahaja dan RM44 untuk riasan yang memiliki empat jenis design.

Menurut Farrah yang berada di semester terakhir pada masa ini, waktu pembukaan studio yang tidak menentu dan tidak dapat menawarkan servis ‘walk-in’ seperti di pusat membeli-belah merupakan cabaran baginya dalam menjalankan perniagaan ini.

Meskipun begitu, dia memaklumkan bahawa perniagaannya ini tidak menjejaskan pelajaran.

Pada minggu peperiksaan pula, studionya akan berhenti beroperasi buat sementara waktu kerana dia ingin fokus terhadap peperiksaan.

“Saya mempunyai hasrat untuk mempelbagaikan perkhidmatan kecantikan.

Oleh itu, saya merancang untuk mempelajari cara membuat sambungan bulu mata.

“Sekiranya ada rezeki, saya juga berkeinginan untuk menyewa kedai yang lebih besar dan mengupah pekerja pada masa akan datang.

Jadi, saya harap perniagaan saya ini dapat berkembang dengan lebih maju kelak,” jelas Farrah mengenai perancangan masa depannya.

Buat masa ini, Farrah ingin memberikan tumpuan terhadap pelajarannya terlebih dahulu dan lebih memberi fokus terhadap perniagaannya setelah selesai pengajiannya kelak.

BERITA LAIN

Gas asli pastikan lampu rumah menyala

KEKAYAAN sumber gas asli yang ditemukan di ketiga-tiga wilayah – Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak – di negara ini, membolehkan penduduk menikmati bekalan tenaga mampu

Teroka tenaga kerja berkemahiran tinggi

BINTULU: Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) sering menjadi agenda utama pendidikan negara dalam menyediakan tenaga kerja yang berkemahiran tinggi, sejajar dengan keperluan industri

Jadi usahawan berinovasi

KUCHING: Usahawan Bumiputera perlu menghapuskan sikap kebergantungan kepada kerajaan untuk mengukuhkan perniagaan mereka, kata Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan Sarawak, Datuk Dr

BERITA TERBARU