Buat sesar unjur sejak subuh

MATU: Musim panas dan kering membawa rezeki kepada golongan wanita khususnya pembuat udang sesar di Muara Rajang.

Daripada hanya menjalankan tanggungjawab rutin, mereka yang sebahagian besarnya suri rumah mampu memperoleh pendapatan lumayan memproses sesar unjur yang dihasilkan secara bergotong-royong.

Beberapa kawasan di muara Rajang sememangnya sinonim dengan penghasilan sesar unjur berkualiti tinggi antaranya, Belawai, Pulau Bruit dan Kuala Matu.

Pengusaha sesar unjur Kampung Hilir Kuala Matu, Saadiah Dillah berkata, penghasilan produk kampung itu bergantung kepada jumlah udang atau payak yang ditangkap oleh nelayan di kawasan berkenaan.

Menurutnya, mereka tidak mampu menghasilkannya dalam kuantiti yang banyak jika jumlah tangkapan udang berkurangan.

“Proses pembuatan sesar unjur lazimnya bermula pada waktu subuh sekembalinya nelayan dari laut. Namun ia juga tertakluk kepada keadaan. Jika mereka datang petang, kami akan proses waktu petang.

“Biasanya, kami akan pilih udang yang masih segar bagi menjamin kualiti dan rasanya,” katanya kepada Suara Sarawak.

Saadiah berkata, sekali pandang, membuat udang sesar kelihatan mudah namun sebenarnya kerja itu memerlukan ketelitian dan kesabaran yang sangat tinggi.

Katanya, udang sesar matang perlu melalui proses pembuatan selama berjam-jam sebelum boleh dipasarkan. Sehingga kini katanya, proses pembuatan produk berkenaan masih dilakukan secara tradisional dalam kumpulan oleh wanita kampung.

“Lebih seronok dan meriah berbanding jika dikerjakan berseorangan. Kita tidak bosan sebaliknya, melakukannya dengan penuh teruja.

“Kebiasaannya Mac hingga Julai adalah tempoh yang kami tunggu-tunggu kerana ketika ini nelayan akan memproleh banyak udang,” katanya.

Jelasnya lagi, mereka tidak bimbang mengenai pasaran kerana sesar unjur masih mendapat permintaan tinggi di pasaran tempatan.

Ketika ini katanya, sesar unjur yang siap diproses dijual RM110 sekilogram, namun nilainya meningkat jika dipasarkan di luar kampung berikutan beberapa faktor, antaranya kos pengangkutan.

Suara Sarawak