Buat ujian calitan secara sukarela

PUSA: Proses pengambilan sampel ujian calitan yang dilakukan di Klinik Kesihatan Pusa, semalam, berjalan lancar.
Tinjauan Suara Sarawak di lokasi mendapati rata-rata mereka yang pernah menghadiri kenduri arwah di Kampung Tengah sejak 26 Disember lalu, datang secara sukarela untuk membuat ujian.
Mereka mula berada di pekarangan klinik seawal jam 8:00 pagi sambil mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.
Kawalan sepanjang pengambilan sampel juga diawasi dengan ketat.
Diperhatikan, kesemua yang pernah berkunjung ke rumah pesakit di Kampung Tengah diarahkan menjalani kuarantin di rumah masing-masing selama dua minggu sehingga 20 Januari depan.
Bagi salah seorang penduduk, dalam perkara sebegini kejujuran dalam memberikan maklumat yang tepat apabila disoal amat penting, selain jangan menyembunyikan diri.
“Bagaimanapun, saya percaya penduduk di sini telah memberi kerjasama yang baik…ramai yang datang secara sukarela.
“Saya harap, kesemua yang hadir menjalani ujian hari ini bebas daripada sebarang jangkitan Covid-19. Aamiin,” katanya kepada Suara Sarawak, semalam.
Beliau berharap penduduk terus akur duduk di rumah bagi yang telah dipakaikan ‘gelang’.
“Arahan yang dikuatkuasakan pihak kerajaan bukan dibuat sesuka hati.
“Ia demi kebaikan bersama… Akur dan patuhlah nasihat pihak kesihatan,” tambahnya.
Ujian calitan yang dilakukan di Klinik Kesihatan Pusa ekoran satu kes positif melibatkan kanak-kanak yang direkodkan pada 5 Januari lalu di bawah kategori kes import B.
Kanak-kanak lelaki tersebut kini dirawat di Hospital Sibu.

Suara Sarawak