Buaya Jejulong sesat di ladang sawit berjaya diselamatkan

BETONG: Tersesat kira-kira dua hari sejauh 500 meter ke dalam semak, seekor buaya Jejulong yang jarang ditemui berjaya diselamatkan oleh tiga anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dekat Ladang Felcra Tanjung Assam, hari ini.

Menurut Pegawai Pertahanan Awam Daerah Betong Kapten Usman Harto, menangkap reptilia air tawar spesies Tomistoma Schlegelii ini sedikit sukar kerana lokasinya di kawasan semak iaitu setengah kilometer dari Sungai Tisak.

“Namun setelah berusaha hampir 30 minit sambil dibantu beberapa orang awam, kita berjaya menangkap buaya sepanjang sembilan kaki itu.

“Kini, buaya yang disifatkan semakin terancam itu masih berada di sini (Pejabat APM) sementara menunggu pihak Perbadanan Perhutanan Sarawak (SFC) mengambilnya untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Jelasnya menurut pekerja ladang, buaya tersebut sudah berada di tempat tersebut selama dua hari.

Operasi menangkap selesai 11:10 pagi tadi.

Suara Sarawak