Buaya makin mengganas

KUCHING: Terdapat empat kes kematian yang melibatkan serangan di Sarawak tahun ini, kata Timbalan Kontroler Hidupan Liar Jabatan Hutan Sarawak (JHS), Engkamat Lading.

“Ada empat kes kematian akibat serangan buaya di Sarawak namun angka ini belum disahkan. Anggaran saiz buaya pernah ditangkap adalah 19 kaki,” katanya kepada Suara Sarawak.

Oleh itu, kata Engkamat, jika orang ramai ingin memburu atau menjual daging buaya di Sarawak, perlu mendapatkan permit atau lesen daripada pihaknya.

“Berikutan terdapat kes yang melibatkan buaya menyerang manusia, maka, reptilia berkenaan dibenarkan diburu tetapi harus mendapatkan permit atau lesen terlebih dahulu.

“Buaya jenis katak atau muara atau nama saintifiknya crocodylus porosus paling banyak di Sarawak manakala di kawasan air tawar atau kawasan paya ialah buaya jejolong atau nama saintifiknya tomistoma schlegelii,” jelasnya.

Menurutnya, kedua-dua jenis buaya ini dilindungi dari segi undang-undang dan bagi memburunya memerlukan permit atau lesen.

“Maka, penduduk yang berada di sekitar habitat buaya harus berwaspada dan jangan berenang atau meredah sungai.

“Meskipun terdapat tohor, penduduk perlu mengelak untuk berada bersendirian di sungai atau di sepanjang gigi air terutamanya waktu senja atau malam, terutamanya di sungai-sungai yang ada buaya,” ujarnya.

Katanya, orang ramai harus mengambil perhatian sepenuhnya pada papan tanda amaran buaya yang dipasang oleh JHS dan SFC di bahagian sungai yang dikenal pasti mempunyai buaya.

Ujarnya, program kesedaran mengenai buaya banyak dilakukan oleh JHS di seluruh tempat di Sarawak sejak beberapa tahun yang lalu sehingga sekarang.

Kronologi empat kes serangan buaya tahun ini:

17 April – Seorang warga emas maut akibat diserang buaya di Batang Oya, Kampung Bakong di Mukah. Mangsa dikenali sebagai Seruji Salleh, 72, dikatakan pergi ke sungai untuk mandi kira-kira jam 12.30 tengah hari selepas membuat kerja di luar rumah.

17 Mac Seorang lelaki warga Indonesia yang dilaporkan hilang selama dua minggu di Bintangor didapati dibaham oleh buaya selepas penemuan cebisan tulang manusia dalam perut buaya berkenaan. Buaya itu berukuran hampir lima meter panjang yang sudah mati ditemui oleh seorang pawang apabila turut serta dalam operasi SAR.

19 Februari – Seorang pencari lokan, Peter Wee Chee Kiong, 20, terselamat daripada dibaham buaya selepas diserang reptilia itu di Kampung Belabau Muara Lepa, Serdeng, Sarikei.

14 Februari – Seorang lelaki pekerja ladang kelapa sawit warga Indonesia maut dibaham buaya ketika mencari ketam di muara sungai di Ladang Segi Pakatan Niah, Miri.