Bubar Parlimen bukan jalan terbaik – Hanif Omar

KUALA LUMPUR: Keputusan untuk membubarkan Parlimen bukan langkah terbaik untuk menangani kemelut politik negara pada masa kini, demikian pendapat ahli Lembaga Penasihat Majlis Perundingan Melayu (MPM) Tun Mohammed Hanif Omar.

Bekas Ketua Polis Negara (KPN) itu berkata, keputusan bagi mencari penyelesaian terbaik harus diserahkan kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

“Secara amnya, tidak ada keperluan itu (bubar Parlimen) kerana banyak risikonya kepada ekonomi negara, keselamatan, pendidikan dan sebagainya.

“Kuncinya sekarang semua orang perlu patuhi Perlembagaan Persekutuan. Agong mempunyai kuasa, jadi pihak lain tak perlu keluarkan kenyataan mendahului Agong,” katanya selepas mengetuai penyerahan memorandum bagi menyelamatkan Malaysia daripada kehancuran kepada Yang di-Pertuan Agong di luar perkarangan Pintu 3, Istana Negara pada kira-kira 10.15 pagi ini.

Mohammed Hanif mengetuai penyerahan memorandum itu bersama beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kepada wakil Setiausaha Sulit Kanan kepada Yang di-Pertuan Agong, Kol (B) Datuk Nazim Mohd Alim.

Yang turut hadir, bekas Speaker Dewan Negara Tan Sri Abu Zahar Ujang serta bekas KPN Tan Sri Musa Hassan.

Mohammed Hanif , bagaimanapun, enggan mendedahkan isi kandungan memorandum berkenaan.

Dalam pada itu, beliau berkata pihaknya telah menubuhkan satu gerakan pada 6 Dis tahun lepas sebagai usaha mempertahankan kedaulatan perlembagaan negara.

“Gerakan itu dinamakan sebagai Gerakan Mempertahankan Kedaulatan Perlembagaan selepas kita sedar terdapat percubaan untuk mengangkat anasir-anasir komunis dalam negara ini,” jelasnya. – Bernama

Suara Sarawak