ARTIKEL

Pengurus Operasi Hotel Samudra, Khairul Syafiq

Bubur Pedas Hotel Samudra, resipi turun-temurun keluarga

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

KUCHING: Setiap kali tibanya bulan Ramadan, bubur pedas antara juadah berbuka puasa yang menjadi pilihan utama dalam kalangan umat Islam di Sarawak.

Bagi menyemarakkan semangat berkongsi rezeki sepanjang Ramadan, Hotel Samudra meneruskan tradisi pengagihan bubur pedas kepada orang ramai di sekitar perkarangan hotel.

Pihak Hotel Samudra mengagihkan bubur pedas kepada orang ramai di sekitar perkarangan hotel.

Pengurus Operasi Hotel Samudra, Khairul Syafiq berkata, program pengagihan bubur pedas itu telah dijalankan sejak tahun 2019.

“Namun begitu, program ini terhenti sementara akibat pandemik COVID-19 sebelum diteruskan secara berterusan sehingga kini.

“Hari ini, pihak kami telah mengedarkan sebanyak 300 bungkus bubur pedas kepada orang ramai di sekitar kawasan hotel, khususnya di hadapan jalan utama,” katanya ketika ditemui pemberita pada Program Pengagihan Bubur Pedas di Hotel Samudra di sini, hari ini.

Tambah beliau, pihak hotel akan mengagihkan sebanyak 100 bungkus bubur pedas setiap hari Jumaat sepanjang bulan Ramadan.

“Sepanjang Ramadan ini, pengagihan bubur pedas akan dibuat di masjid-masjid sekitar kawasan Satok, termasuk masjid Kampung Nombor.

“Pengagihan akan dilaksanakan selepas solat Asar sebagai usaha berterusan pihak hotel untuk berkongsi rezeki dan menyantuni komuniti setempat,” ujarnya.

Berkongsi keistimewaan bubur pedas yang disediakan, Khairul Syafiq berkata hidangan itu dimasak oleh cef tempatan hotel menggunakan resipi tradisi turun-temurun milik keluarga pemilik hotel.

“Bubur pedas ini merupakan antara menu istimewa kami dan dijual sepanjang tahun, bukan hanya pada bulan Ramadan,” katanya.

Beliau berkata, pihak hotel turut menawarkan hidangan berbuka puasa menerusi konsep Set Talam Samudra di Kafe Ombak, setiap tahun sepanjang Ramadan.

“Terdapat tiga pilihan set talam iaitu Set Talam Saujana, Set Talam Bahtera dan Set Talam Bayu.

“Set Talam Saujana menyajikan ayam percik dan daging masak hitam, manakala Set Talam Bahtera menawarkan ikan tenggiri asam pedas bersama daging masak hitam.

“Set Talam Bayu pula menampilkan udang masak minyak cili bawang putih dan ayam goreng berempah,” jelasnya.

Kesemua set tersebut turut dilengkapi dengan ulam-ulaman, bubur pedas, sambal belacan, nasi putih, ikan masin, kuih-muih serta buah-buahan, selain minuman percuma seperti air kordial serta kopi atau teh.

“Kafe Ombak beroperasi sehingga 12.30 tengah malam sepanjang Ramadan bagi menyediakan hidangan moreh.

“Menu moreh pula akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” katanya.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU