UMAT Islam sudah berpuasa hari ketiga. Salbia dan kawankawan seperti biasa hadir ke sekolah.
Dia perlu hadir awal kerana menerima amanah dilantik sebagai penolong ketua darjah Tingkatan 5D.
Selain AJK yang dilantik, dia perlu membantu Joseph yang dilantik menjadi ketua darjah.
Salbiah dan kawan-kawan sangat gembira menerima amanah ini kerana selain dapat mendidik diri datang awal ke sekolah, ia juga dapat mendidik diri menyemai sifat bertanggungjawab dan bekerjasama.
Guru Tingkatan 5D ialah Cikgu Zek.
Guru yang ditakdirkan datang ke Sarawak bersama-sama ratusan guru lain yang terlatih dalam pelbagai bidang mata pelajaran, diamanahkan mengajar subjek Kesusasteraan Melayu dan Bahasa Melayu di kelas itu.
Pelantikan sebagai guru tingkatan di sekolah yang ramai bilangan pelajar ini, tidak pernah dipertikaikan oleh Cikgu Zek.
Dia yang masih bujang gembira menjadi guru tingkatan dan mengajar subjek popular ini kerana mendapat kerjasama sangat baik daripada pelajar kelasnya.
PELAJAR KESAYANGAN
Tambahan pula, setiap hari Cikcu Zek masuk Tingkatan 5D kerana jadual waktu menetapkan subjek Bahasa Melayu mesti diajar setiap hari.
Oleh itu keraplah Cikgu Z masuk kelas 5D.
Bertambah menarik lagi kerana pelajar kesayangannya menunjukkan minat tinggi pada kedua-dua subjek yang diajarnya.
Setiap kali ujian bulanan dan latihan di kelas, prestasi yang ditunjukkan oleh pelajar-pelajar ini tidak mengecewakan.
Semua pelajar lulus dengan markah cemerlang, kepujian dan sedikit sangat yang mendapat markah hanya lulus.
Keadaan yang sama turut berlaku di tingkatan lima yang lain yang mendapat sentuhan kaedah pengajaran dan pembelajaran Cikgu Zek.
Hari itu, selepas membalas ucap selamat sejahtera daripada semua pelajar, jejari Cikgu Z terus menulis tajuk karangan yang dibincangkan pada hari itu.
Kapur tulis yang terselit di jari terus melakar judul karangan hari itu “Bubur Pedas Sarawak”.
“Wahhh…” Berderai suara pelajar Tingkatan 5D berkumandang di udara dan mengeluarkan gemanya hingga ke kelas berhampiran dan bilik pengetua yang terletak di tingkatan bawah bangunan Blok A yang terdapat pejabat dan bilik pentadbir sekolah.
Di tingkat atas pula terdapat bilik kelas.
Tuan Pengetua, Awang Bol sempat menyelak langsir jendela di biliknya dan terus memandang tajam ke aras kelas Tingkatan 5D.
“Apa lagi bahan pengajaran menarik yang dibawa oleh Cikgu Zek itu..” omel Pengetua.
“Okey, sekarang dalam masa lima minit, saya beri peluang pelajar catat apa-apa saja bahan yang ada kaitan dengan judul karangan hari ini…
Bubur Pedas Sarawak.
Okey, boleh mula sekarang.”
HIDANGAN ISTIMEWA
Setelah tamat masa lima minit yang diberi, seorang demi seorang pelajar bercakap berdasarkan catatan mereka.
“Saya mulakan dahulu cikgu ya,” Joseph bangun dan bercakap.
“Bubur Pedas juadah istimewa berbuka puasa bagi masyarakat Islam di Kuching.”
“Saya sambung cikgu,” Salbiah bangun, “banyak bahan dimasukkan ke dalam bubur ini supaya lazat dan berkualiti.”
Norzaleha pula bangun, “hampir setiap hari emak saya menyediakan bubur pedas ini sebagai salah satu daripada juadah berbuka keluarga kami.
Selalunya, emak akan buat lebih dan disedekahkan buat jiran yang tinggal berhampiran.
“Terima kasih ya yang sudah memberi idea.
Boleh yang lain sambung.”
Pelol, pelajar berketurunan Iban bangun dan membaca bahan karangan yang dicatatkan pada buku khas miliknya.
“Masyakarat yang tinggal di Bumi Kenyalang ini sungguh bertuah kerana dapat merasa bubur pedas apabila tiba Ramadan.
“Selain yang diberi rakan, kita juga boleh beli bubur pedas ini di pondok jualan Kak Odot di luar pagar kawasan sekolah kita ini.
Emm… bestnya.”
“Baiklah, sekarang semua pelajar boleh beri bahan karangan yang telah kamu catat pada buku khas kamu mengikut giliran kedudukan kamu di kelas ini.
Boleh mula dari Awang Khairuddin. Yang lain akan sambung ya.”
“Bubur Pedas disebut bubur pedas kerana sedikit cili dijadikan bahan resipi yang terkandung dalam bubur ini.
Tahap kepedasannya bergantunglah pada selera pemakannya. “
“Terima kasih Awang.
Bagus.” Cikgu Zek bersuara “Bahan lain yang ingin dimasukkan ke dalam bubur pedas bergantung pada selera si pembuat dan ahli keluarga mereka, tetapi bahan asas mesti ada iaitu beras, air, garam, serbuk perasa, hirisan daging atau daging ayam, sayuran dan lain-lain,” Mohktar melengkapkan lagi isi karangan yang akan mereka garap pada hari itu. “Bagus Mokhtar.”
“Terima kasih cikgu,” Mokhtar tersenyum apabila dipuji. “Idea saya pula cikgu,” Mat Zidi bangun dan mula melontar ideanya.
“Jika di negeri lain di Malaysia, bubur pedas ini macam nak sama dengan bubur lambuk.
Setahu saya, bubur lambuk Kampung Baru, Kuala Lumpur terkenal,” ujar Mat Zidi.
“Ya cikgu dan kawan-kawan, saya pernah rasa bubur lambuk Kampung Baru ketika saya berkunjung di rumah bapa saudara saya pada Ramadan beberapa tahun lepas.
Nyaman bah… Biasanya AJK Masjid Kampung Baru memasak banyak bubur lambuk ini untuk diagih ke seluruh Kampung Baru dan orang ramai yang lalu lalang di kawasan berhampiran.”
“Wah…karangan kita hari ini sudah belayar jauh ni,” Nor Zaleha bersuara. Pelajar lain terus memberi idea mengikut yang dicatatkan di dalam buku khas mereka seperti diminta Cikgu Z.
“Terima kasih semua. Sekarang kita sudah mendapat isi karangan yang lengkap.
Sebelum kamu mula mengarang, kita bincang dari segi susunan karangan yang ingin kamu tulis ya.”
TARIK PERHATIAN
Salbiah bangun sekali lagi. Ada beberapa pasang mata menjeling cemburu dan membengutkan bibir.
“Bodek cikgulah tu…” “Tak jadilah cikgu.
Beri Nor Zalehalah..”
“Okey Nor Zaleha. Dalam sebuah karangan yang gramatis, ada berapa bahagian yang penting diutarakan?”
Joseph bertanya.
“Kawan-kawan, seperti yang cikgu kacak kita ini ajar, ada tiga bahagian penting sesebuah karangan iaitu pengenalan atau permulaan karangan dalam lima hingga enam baris yang juga disebut sebagai kepala karangan.”
“Apa pentingnya pengenalan atau kepala karangan ini?
Siapa boleh beri idea?”
“Cikgu Z, pengenalan atau permulaan karangan ini penting sebagai gambaran awal karangan yang kita persembahkan.
“Sebab itu pengenalan karangan ini mesti menarik hati pembaca untuk terus membaca karangan kita.
Samalah seperti kita buat bubur pedas, aromanya mesti menarik minat pemakannya.
Ini pendapat saya Cikgu Zek,” Pelol memberi idea.
Berderai tepukan diberikan kepada Pelol. “Cikgu, saya sambung,” Soraya bersuara.
“Bahagian kedua bahagian yang terpenting atau disebut sebagai bahagian badan karangan.
Bahagian inilah kita ketengahkan isi penting karangan kita iaitu resipi yang terkandung di dalam bubur pedas dan cara penyediaan bubur ini sehinggalah bubur ini masak dan diberi nama bubur pedas. “
“Bagus. Terima kasih Soraya.”
“Cikgu, saya pula,” Rahmat bangun dan bercakap, “cikgu dan kawan-kawan, bahagian yang ketiga ialah bahagian penutup.
Bahagian pengakiran karangan kita ini mesti menarik supaya meninggalkan kesan mantap pada karangan kita.
GOTONG-ROYONG
“Salah satu bentuk pengakirannya, kita boleh kaitkan bubur pedas ini dengan perpaduan masyarakat kita khususnya di Sarawak dan Kuching ini.
Boleh juga karangan diakhirkan dengan khasiat bubur pedas ini pada kesihatan manusia.”
Tepukan bergemuruh diberikan kepada Rahmat yang turut memberi idea bernas.
“Natijah yang lebih jauh, saya cadangkan semua pelajar Tingkatan 5D ini bergotongroyong memasak bubur pedas di sekolah.
Kita akan pelawa semua warga sekolah ini.
Hasil bubur pedas ini kita infakkan kepada semua pelajar dan masyarakat dalam kawasan berhampiran sekolah. Setuju…”
“Setuju…” bergema suara pelajar Tingkatan 5D.
“Joseph dan Salbia serta semua AJK yang dilantik berjumpa Tuan Pengetua untuk berbincang mendapatkan keizinan.” “Baik Cikgu.”
Petang itu, kira-kira sejam sebelum berbuka, Salbiah muncul di pintu rumah Cikgu Zek, berhampiran asrama puteri.
“Cikgu, ini hadiah bubur pedas daripada saya buat juadah cikgu berbuka petang ini.”
“Subhanallah… Terima kasih daun keladi Salbiah.”