Budak Bengkel Moto kumpul duit sendiri bantu penduduk

MUKAH: Budak Bengkel Moto yang terdiri daripada 30 orang mengambil inisiatif mengumpul duit sendiri untuk membeli barangan makanan yang diagihkan kepada golongan yang memerlukan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pemberian makanan tersebut melibatkan lima kampung dan sebuah kawasan Perumahan Jalan Tiong Hua. Kampung yang terlibat adalah Kampung Tegak, Jebungan, Tutus, Tellian dan Petanak.

Menurut salah seorang kumpulan yang dikenali sebagai Deep Moto, mereka ‘turun padang’ atas dasar keinginan untuk membantu masyarakat memerlukan.

“Kami mengumpul duit sendiri untuk membeli barangan makanan keperluan. “Kumpulan kami tiada ketua atau pengerusi… kami saling membantu dan mengatur perancangan,” kata Deep.

Menurutnya, mereka mengenal pasti golongan yang benar-benar memerukan bantuan. “Sumbangan kami tidaklah banyak, namun sekurang-kurangnya ia boleh membantu meringankan beban golongan sasaran.

“Malah sekurang-kurangnya bantuan kami ini menambahkan lagi bantuan sedia ada yang dihulurkan oleh kerajaan,” jelasnya.

Beliau menambah, mereka berjaya mengumpul RM3,000 dengan anggaran barangan bernilai RM100 untuk seorang penerima.

“Kami berharap agar warga Mukah sentiasa mematuhi PKP. Sama-samalah kita berdoa agar wabak yang amat berbahaya ini reda dan lenyap,” ujarnya.