Budi Bujang diingati

Facebook
Twitter
WhatsApp
Telegram
E-mel

“ YOU’RE fired!” Keras, tetapi itu ayat yang diungkap beliau terhadap Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan (kini Timbalan Premier Sarawak).

Ia semata-mata kerana Awang Tengah menolak pelawaan untuk menjadi calon Barisan Nasional – Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) bagi Dewan Undangan Negeri Lawas pada 1987.

Ketika itu, Tengah merupakan penjawat awam dan telah diintai oleh kepimpinan parti, terutamanya Tan Sri Abang Johari Tun Openg, yang mengesan bakatnya ketika menjadi Pegawai Daerah di Oya.

Tindakan Tan Sri Bujang Nor selaku Setiausaha Kerajaan Negeri ketika itu adalah tepat, bagi menangani kemelut politik yang berpunca daripada peristiwa Ming Court pada waktu itu.

Perkara ini diimbas Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg ketika Konvensyen Khas PBB di Bintulu Ahad lalu.

Bujang menutup mata dan menghembus nafas terakhir sekitar jam 8.40 malam, 10 September lalu, selepas berada di Unit Rawatan Rapi, Pusat Rawatan Pakar Normah sejak Jumaat sebelumnya.

Allahyarham yang genap 88 tahun pada 8 Ogos lalu, merupakan Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak keempat dari tahun 1984 hingga 1992.

Beliau menggantikan Datuk Amar Abang Yusuf Puteh.

Beliau memangku jawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak pada Januari 2016, apabila Tun Abdul Taib Mahmud bercuti ke luar negara. Beliau pernah dilantik ke jawatan yang sama sebanyak tiga kali lagi.

Memecah tangis di Kampung Sungai Lajim, Kuching, beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah St. Joseph sebelum melanjutkan pelajaran ke Universiti Malaya di Singapura pada 1949, dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Sastera Kepujian.

Beliau berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Lawas pada 1962 dan dilantik sebagai Majistret Kelas Pertama di Lawas.

Pada tahun 1965, beliau menyandang Ketua Penolong Setiausaha di Kementerian Sumber Asli dan dilantik memangku jawatan Setiausaha Tetap kementerian itu sebanyak tiga kali, bagi menggantikan seorang pegawai ekspatriat British ketika itu.

Pada awal tahun 1965, Bujang berkhidmat sebagai Pegawai Daerah Sarikei dan Binatang (sekarang Bintangor) dan dihantar berkursus di The Hague, Belanda di bawah anjuran Colombo Plan Fellowship Award dalam bidang Pembangunan Nasional.

Sekembalinya dari Belanda pada 1967, Bujang dilantik Timbalan Setiausaha Kewangan Negeri sebelum menjawat Setiausaha Kewangan Negeri pada tahun 1971 hingga 1984.

Seperti kata Abang Johari, kepakaran Bujang ialah pentadbir, pengurus dan ahli ekonomi yang baik. Beliau memimpin penjawat awam di negeri ini ketika Sarawak dalam peralihan, dan melaksanakan politik pembangunan di bawah teraju Tun Abdul Taib Mahmud pada 1984.

Tentu sekali kecemerlangannya lebih nyata apabila berjaya mengukuhkan Kerajaan Negeri ketika ribut politik melanda pada waktu Ming Court pada 1987.

Tentu sekali beliau agak tertekan kerana memastikan kerajaan yang sedia ada perlu utuh, tidak terganggu oleh anasir politik, biarpun banyak rahsia kerajaan yang terdedah.

Perlu diingat lawan kerajaan semasa pada waktu itu ialah nama-nama besar yang pernah berada dalam kerajaan seperti Tun Abdul Rahman Yaakub, Abang Yusuf Puteh dan beberapa yang lain.

Mungkin ramai yang tidak tahu bahawa Bujang merupakan individu yang pernah terlibat dalam seni lakon.

Beliau pernah berlakon sebagai Setiausaha Kerajaan Negeri (jawatan beliau ketika itu) dalam filem “Anak Sarawak” yang diarah oleh Datuk Rahim Razali pada 1989. Beliau serorang yang agak lembut berbicara, kerap tersenyum dan senang menerima pandangan ramai.

Ini diungkapkan oleh beberapa pegawai yang pernah berkhidmat dengannya. Sepanjang perkhidmatannya, peminat sukan tenis ini dikurniakan pelbagai darjah kebesaran, antaranya Darjah Datuk Amar Bintang Kenyalang (DA), Panglima Setia Mahkota (PSM), Panglima Negara Bintang Sarawak (PNBS), Johan Setia Mahkota (JSM), Johan Bintang Sarawak (JBS), Ahli Mangku Negara (AMN), Pingat Bakti Jubli Perak, Pingat Peringatan Delima (Emas) dan mutakhir, Pingat Pemacu Peringatan Terbilang Jubli Intan pada Hari Sarawak yang lalu.

Pada 2009, Bujang juga telah dianugerahkan sebagai Tokoh 1Malaysia sempena sambutan perayaan Hari Malaysia pada tahun tersebut bagi menghargai sumbangan dan jasa bakti beliau kepada negara.

Selain itu, beliau juga diangkat sebagai Tokoh Maal Hijrah Sarawak pada 2018. Beliau dilantik memegang jawatan pengerusi dan ahli lembaga pengarah pelbagai syarikat dan organisasi termasuk sebagai Presiden Persatuan Tenis Bumiputera Sarawak (PTBS) dan Pengerusi Eksekutif Harwood Timber Sdn Bhd.

Bujang juga pernah dilantik Ahli Lembaga Pengarah dan Pengerusi Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) dari tahun 1993 hingga 2010, Ahli Lembaga Pengarah Permodalan Nasional Berhad (PNB) (1998-2016) .

Pada 2006 hingga 2015, beliau dilantik Ahli Lembaga Pengarah International Centre for Education in Islamic Finance dan Setiausaha Kehormat Lembaga Amanah Masjid Negeri Sarawak selama 18 tahun sejak Mei 2003.

Peranannya sebagai penjawat awam amat besar kerana pada waktu itu pelbagai peristiwa bersejarah telah berlangsung.

Antara yang terpenting termasuklah penyerahan diri pihak Parti komunis Kalimantan Utara pada 17 Oktober 1990. Beliau juga berjaya melatih pegawai-pegawai muda untuk bekerja dengan cekap dan akhirnya cemerlang.

Antaranya termasuklah Tan Sri Aziz Hussain, Tan Sri Safri Awang Zaidell dan Allahyarham Datuk Sri Taha Ariffin. Bujang yang mendirikan rumah tangga dengan Allahyarhamah Dato Sri Dayang Lela Abang Zawawi meninggalkan enam cahaya mata, dua lelaki dan empat perempuan.

Biarpun telah pergi meninggalkan kita, jasa dan budi Bujang akan tetap diingati. Beliau akan kekal sebagai ketua penjawat awam yang bebas isu, sentimen dan bersih serta disayangi.

Suka artikel:

e-Akhbar Suara Sarawak

Berkaitan

Lain-lain

Buruh paksa moden

SEKALI-SEKALA media melaporkan pekerja asing, termasuk pembantu rumah di negara

Gibran di mata Prabowo

PEMILIHAN presiden (Pilpres) Indonesia berlangsung 14 Februari 2024. Sejumlah survei