ARTIKEL

Buka luas laluan pelancongan

Facebook
Twitter
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

JOM BACA E-PAPER SUARA SARAWAK/ NEW SARAWAK TRIBUNE PERCUMA SEAWAL 2 PAGI SETIAP HARI. KLIK SINI

MUKAH: Pada masa hadapan, diharap lapangan terbang baharu di sini menerima penerbangan dari luar Sarawak seperti Kuala Lumpur, Johor Bharu dan Kota Kinabalu. Adun Tellian Yusibnosh Balo berkata, ia akan dapat memudahkan golongan pendidik terutama pensyarah di UiTM dan Politeknik termasuk pelajar dari luar Sarawak.

Operasi lapangan terbang baharu itu bermula hari ini manakala lapangan terbang lama melakukan pelepasan dan pendaratan terakhir pada Rabu.

Tambahnya lagi, dengan adanya lapangan terbang baharu itu industri pelancongan dan perniagaan di Mukah akan lebih maju pada masa akan datang.

“Walaupun sekarang, penerbangan terhad ke Kuching dan bandar lain di sekitar negeri ini, pada masa akan datang diharap menjadi salah satu lapangan terbang yang sibuk,” katanya kepada Suara Sarawak.

Ditemui pemberita sewaktu menyaksikan penerbangan terakhir, Yusibnosh menjelaskan beliau bersama-sama wakil rakyat lain akan berbincang dengan pihak yang mempunyai kepentingan untuk melihat potensi yang boleh dikembangkan.

“Penumpang juga berpeluang menerokai Mukah sebagai satu destinasi pelancongan. Kita ada pantai yang luas, sungai yang panjang dan cantik, keadaan bentuk muka bumi dengan rumah panjang sedia ada serta keunikan tersendiri, “ jelasnya lagi.

Terdahulu katanya, turut dicadangkan apabila tapak lama dijadikan sebagai pusat latihan penerbangan termasuk cadangan lain yang boleh diguna pakai.

“Semua yang dicadangkan ini akan kita ajukan kepada pihak berwajib dan terpulang kepada Kerajaan Sarawak, kerana tanah di kawasan berkenaan merupakan hak milik Kerajaan Sarawak.

“Kita akan bincang lanjut untuk mengenal pasti rancangan terbaik untuk dirancangkan,” ujarnya. Malah katanya, ada cadangan yang diusulkan oleh belia di Mukah yang mahu tempat berkenaan disarankan menjadi tempat bagi pusat sukan permotoran.

“Kita akan menerima mana-mana cadangan yang Kerajaan Sarawa luluskan kerana cadangan tersebut perlu memberi manfaat untuk penduduk tempatan di sini,” jelasnya lagi.

BERITA LAIN

BERITA TERBARU